top of page

Anak syarikat TNB raih kontrak ladang solar di UK


Anak syarikat TNB raih kontrak ladang solar di UK Berita Harian www.bharian.com.my
Ibu pejabat Tenaga Nasional Bhd di Bangsar Kuala Lumpur. - NSTP/ AZIAH AZMEE

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB), menerusi anak syarikat milik penuhnya, Vantage RE Ltd (Vantage RE) memeterai kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) dengan BELECTRIC GmbH (BELECTRIC) bagi pembinaan dan pentauliahan ladang solar 102MW di United Kingdom (UK).


TNB dalam satu kenyataan, berkata projek itu juga termasuk pilihan untuk membangunkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) 65MW setempat dan berupaya meningkatkan aliran hasil TNB melalui penyertaan dalam perkhidmatan sampingan dan pasaran kapasiti.


"Pelaburan ini adalah satu pencapaian penting bagi TNB sempena peluasan pembabitannya dalam pembangunan Tenaga Boleh Baharu (TBB) di UK.


"Ladang solar ini dijangka mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) menjelang suku pertama 2024. Apabila beroperasi kelak, ladang yang dibangunkan di dua lokasi itu dijangka memberikan hasil jangka panjang yang stabil di bawah skim subsidi Contract-for-Difference (CfD) selama 15 tahun, yang telah diperoleh pada Julai 2022," katanya.


Menurut TNB, pasukan Vantage RE akan memantau pelaksanaan projek itu yang bakal menjana tenaga bersih dalam memenuhi keperluan tahunan 37,000 kediaman, serta menghindari pelepasan lebih 46,750 tan karbon dioksida (CO2) berbanding penjanaan bahan api fosil.


"Kedua-dua tapak juga menawarkan peluang inisiatif terhadap alam sekitar yang menggalakkan faedah kepelbagaian biodiversiti, sekali gus menyokong agenda biodiversiti TNB yang lebih luas," katanya.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, kerjasama dengan BELECTRIC membolehkan TNB mengembangkan portfolio penjanaan tenaga solarnya di UK dan terus mara dalam usaha Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di peringkat global demi mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050, seperti yang digariskan dalam Hala Tuju Kelestarian TNB.


"Pengalaman dan kepakaran kami dalam membangunkan ladang solar di Malaysia melalui projek solar berskala besar (LSS) penting dalam memastikan projek ini berjaya, seterusnya mengukuhkan kehadiran kami dalam lapangan TBB UK.


"Ini adalah langkah penting ke arah perniagaan TNB yang kalis masa depan dalam peralihannya kepada ekonomi hijau dan memastikan ia terus menjaga kepentingan nilai pemegang sahamnya.


"Pembabitan dalam kegiatan pembangunan greenfield bagi penjanaan tenaga hijau ini adalah sejajar dengan aspirasi TNB untuk menjadi penyedia tenaga mampan global," katanya.


Baharin berkata, pelaburan yang disuntik syarikat telah meningkatkan kapasiti TBB TNB di UK kepada 632MW, pertumbuhan ketara 61 peratus dalam kapasiti MW sejak pelancaran Vantage RE pada Julai 2021.


"Untuk pencapaian tahunan hingga kini bagi suku ketiga 2022, sumbangan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) daripada portfolio TBB UK kami telah meningkat sebanyak 31.7 peratus tahun ke tahun kepada 55.6 juta pound (RM299.23 juta), menandakan prestasi kewangan yang sihat secara berterusan melalui pendekatan pengurusan aset yang aktif oleh TNB," katanya.


Sumber: Berita Harian


5 views

Comments


bottom of page