top of page

Air sisa kumbahan dirawat untuk kegunaan industri


KUALA LUMPUR 24 Jan. - Sektor pengilangan dan perladangan digesa mengguna semula sisa kumbahan sebagai sumber alternatif mampan sekali gus menjayakan usaha pengurusan air secara bersepadu.


Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) Dr. Xavier Jayakumar berkata, masyarakat harus yakin dengan tahap keselamatan sisa kumbahan kerana diproses menggunakan kepakaran teknologi yang setanding dengan negara-negara maju.


“Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) telah menjalankan pelbagai penyelidikan dalam penghasilan bi-produk sisa kumbahan iaitu biopepejal (baja), bioefluen (air) dan biogas (sumber elektrik).


“Air sisa kumbahan yang dirawat IWK kebanyakannya dilepaskan semula ke sungai yang menjadi sebahagian sumber air negara.


“Kajian juga membuktikan kualiti efluen yang dirawat oleh IWK menepati piawaian Jabatan Alam Sekitar.” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.


Tambahnya, pembinaan Loji Pulihguna Air atau Water Reclamation Plant (WRP) mampu menghasilkan bekalan yang boleh diguna pakai apabila negara menghadapi krisis air pada musim kemarau.


“Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 Kuala Lumpur merupakan loji rawatan kumbahan bawah tanah yang pertama di Malaysia dan terbesar di rantau Asia Pasifik,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Faizal Othman menjelaskan bioefluen yang dihasilkan daripada air sisa kumbahan itu juga dapat mengurangkan tekanan ke atas sumber air sedia ada terutamanya bagi tujuan bukan minuman.


Menurut Faizal, bioefluen yang terhasil daripada Loji Rawatan Kumbahan IWK untuk diguna semula bagi kegunaan air bukan minuman di Lembah Klang berjumlah kira-kira 500 mld (juta liter sehari) iaitu sebanyak 10 peratus daripada penghasilan bioefluen secara keseluruhan.


“IWK juga telah mengenal pasti beberapa loji khususnya yang terletak berdekatan dengan kawasan perindustrian seperti di Shah Alam, Klang, Bandar Baru Bangi, Bayan Baru, Seberang Perai dan Kulim bagi penghasilan air untuk kegunaan industri,” katanya.


Sumber: Utusan


29 views
bottom of page