top of page

Air hingga ke dapur rumah


Air hingga ke dapur rumah Sarawak Voice www.sarawakvoice.com
Gambar hiasan: Air hingga ke dapur rumah

KUCHING: Masalah bekalan air terawat dan bersih di Kampung Trombol dan Kampung Nyabut bakal berakhir kata Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.


Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) itu berkata, ia susulan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang akan dilaksanakan di dua kampung tersebut.


“Projek ini dijangka berlangsung selama 44 minggu (11 bulan) bermula Julai lalu dengan jarak pemasangan pelbagai saiz paip sejauh 11.2 kilometer.


“Pemasangan paip ini akan menyalurkan bekalan air ke semua rumah sehingga ke dapur rumah masing-masing dalam kawasan kampung yang terlibat.


“Air merupakan keperluan asas manusia. Oleh itu, sumber ini diharap dapat memudahkan urusan pengguna yang telah lama menantikan saat ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Pelancaran BALB Sistem Retikulasi Zon 1 di Kampung Trombol dan Kampung Nyabut, di sini, kelmarin.


Tambahnya, usaha tersebut merupakan kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan bersama-sama agensi yang terlibat supaya keperluan asas dapat disalurkan ke setiap rumah.


Katanya, melalui pelaksanaan projek tersebut, ia diyakini dapat memastikan penempatan di kawasan sasaran dapat menerima bekalan air bersih dan terawat.


“Melalui kementerian utiliti, kita menyasarkan agar bekalan air bersih sampai ke setiap isi rumah menjelang tahun 2025 dan diteruskan sehingga 2030.


“Bukan sahaja bekalan air, tetapi juga keperluan lain seperti elektrik akan dibawa masuk bagi memudahkan aktiviti masyarakat setempat,” katanya.


Mengulas lanjut, projek bernilai RM4.7 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sarawak.


“Di samping menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan perkampungan tersebut, ia juga sekali gus dapat merapatkan jurang perbezaan antara penduduk bandar dan luar bandar agar bersama-sama menikmati kemudahan utiliti asas ini,” katanya ringkas.


Hadir sama, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang, Pegawai Kanan JBALB mewakili Pengarah JBALB Lau Chong Choon dan Ketua Kampung Trombol Sapuan Oya.


Sumber: Sarawak Voice


Comentarios


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page