top of page

Ada kerja dilakukan untuk Lebuhraya Pan Borneo


Pekerja kontraktor memindahkan tiang elektrik bagi memberi laluan kerja penimbusan tanah dan melebarkan jalan sedia ada untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di kawasan Kimanis. - NSTP/Edmund Samunting

BONGAWAN: Di sebalik tuduhan pembangkang kononnya projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah terbengkalai, tinjauan mendapati masih ada kontraktor melakukan kerja.


Tinjauan bermula di Membakut hingga ke Kimanis, di sini, mendapati kerja pembinaan terutama penimbusan tanah dan memindahkan serta memasang tiang utiliti sedang dilaksanakan.


Kebanyakan kerja bagi laluan di kawasan Parlimen Kimanis ketika ini masih membabitkan penimbusan tanah bagi membesarkan laluan sedia ada berikutan keadaan berpaya di sepanjang laluan berkenaan.


Bagaimanapun, tinjauan mendapati ada beberapa lokasi kelihatan terbiar, namun difahamkan kontraktor yang melaksanakannya masih dalam proses menyusun semula operasi pembinaan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Richard Jomiji Kinsil, ketika ditanya status projek berkenaan mengesahkan tiada isu terbengkalai yang membabitkan projek Pan Borneo Sabah.


“Pembinaan sedang berjalan sekarang, tiada isu terbengkalai. Pembinaan terhenti sekejap disebabkan syarikat rakan penyampai projek (PDP) tidak mahu menandatangani perjanjian novasi kontraktor kepada kerajaan.


“Kerajaan terpaksa melantik terus kontraktor Pan Borneo ini secara ‘direct award’. Ini telah melewatkan pelaksanaan projek selama dua bulan disebabkan proses pelantikan memakan sedikit masa,” katanya, di sini, hari ini.


Khidmat PDP ditamatkan pada September lalu dan selepas itu difahamkan kontraktor yang melaksanakan projek berkenaan terpaksa menghentikan kerja.


Ia disebabkan syarikat PDP terbabit tidak menandatangani perjanjian novasi bagi membolehkan kontraktor projek berkenaan meneruskan kerja.


Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turun berkempen untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis menuduh projek itu terbengkalai.



14 views
bottom of page