top of page

6 inisiatif bantu kontraktor Sarawak


Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Kerajaan Sarawak membantu syarikat kontraktor mengelak masalah projek tertangguh atau sakit.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenal enam langkah baharu bagi meningkatkan industri pembinaan negeri ini sekali gus membantu syarikat kontraktor mengelak masalah projek tertangguh atau sakit.


Inisiatif baharu itu termasuk Kerajaan Sarawak bersetuju meluluskan pemberian insentif kepada sektor pembinaan dan seterusnya memasukkan barangan baharu dan pelbagai dalam senarai Variasi Harga (VOP).


Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia merangkumi inisiatif bayaran pendahuluan untuk kontrak kerja kepada pihak yang terlibat termasuk ‘syarikat dua dolar’.


“Kita akan menyediakan bayaran pendahuluan kerana kadang-kadang terdapat syarikat yang tidak mempunyai kekuatan dari segi kewangan, jadi kerajaan mahu membantu mereka ini yang kadang-kadang disebut sebagai ‘syarikat dua dolar’.


“Kedua adalah membenarkan sehingga tiga pembayaran pendahuluan dibuat tanpa dokumen kontrak dalam tempoh empat bulan pertama tempoh kontrak. “Selain itu, kerajaan juga akan memberikan kadar yang lebih rendah bagi kerosakan atau masalah projek yang dikenal pasti,” katanya pada Majlis Perasmian Seminar Meningkatkan Industri Pembinaan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, semalam.


Mengulas lanjut, katanya inisiatif lain termasuk bayaran minimum yang lebih rendah serta langkah-langkah lain untuk meringankan projek yang terjejas teruk akibat kenaikan harga.


“Seterusnya, kerajaan bersetuju melanjutkan masa (EOT) untuk projek dengan kemajuan sekurang-kurangnya 60 peratus berdasarkan program kerja dan penamatan bersama tertakluk kepada kriteria lazim yang dikenakan.


“Ini semua merupakan inisiatif baharu kerajaan dan diharap ia dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh para kontraktor kita. “Langkah-langkah yang dilaksanakan ini bertujuan untuk meminimumkan atau bahkan menghapuskan isu projek tertangguh yang kritikal, untuk membantu aliran tunai projek kontraktor serta untuk mencapai situasi “menang menang” untuk semua pihak di bawah kontrak Kerajaan Sarawak,” tegasnya.


Tambahnya, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan daya saing industri pembinaan serta pembangunan strategi untuk para pemain industri menjadi penyedia penyelesaian global serta menyokong kekayaan mampan dan mencipta nilai berimpak tinggi.


“Ia susulan industri ini mempunyai impak tinggi kepada negara dengan mempunyai kira- kira 1.5 juta pekerja melibatkan jangkaan pertumbuhan tahunan sebanyak lima peratus dalam tiga tahun akan datang.


“Justeru, inisiatif ini telah diambil untuk membantu dalam pemulihan industri pembinaan tempatan dan penyampaian projek tepat pada masanya di Sarawak. “Di samping itu, jabatan berkaitan juga telah menyemak proses dan prosedur semasa mereka untuk memenuhi keperluan pasaran dan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan projek,” katanya.


Ujarnya, beliau juga telah menasihat kementerian serta agensi berkaitan untuk menyokong dan meningkatkan pengurusan projek dan pentadbiran kontrak. “Sokongan yang diberikan oleh kerajaan mungkin tidak mencukupi untuk mengurangkan kesan buruk pandemik, namun bantuan yang diberikan akan mengurangkan dan meminimumkan hakisan margin dalam industri.


“Oleh itu, saya amat berharap agar inisiatif baharu ini dapat mengekalkan industri binaan tempatan dan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi cabaran masa depan,” katanya lagi. Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Aidel Lariwoo dan Timbalan Menteri Pembangunan Pelabuhan Datuk Majang Renggi.


Sumber: Sarawak Voice


13 views

Comentarios


bottom of page