KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengeluarkan 542 surat amaran kepada kontraktor yang tidak mematuhi jalan kerja dan piawaian keselamatan yang ditetapkan dalam pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Ir. Aidel Lariwoo mendedahkan 351 ialah Laporan Ketidakpatuhan (NCR) dan 191 lagi ialah Notis Penambahbaikan (NOI).
“Selain daripada laporan ini, enam siri audit keselamatan jalan raya juga dilaksanakan ketika projek masih dalam fasa pembinaan.
“Susulan audit ini, syarikat-syarikat kontraktor yang terlibat dalam proses membaik pulih struktur-struktur berkaitan bagi memastikan jajaran tersebut selamat digunakan oleh pengguna jalan raya,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan hari kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, pada Jumaat.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datuk Sri Huang Tiong Sii mengenai tindakan yang diambil ke atas kontraktor Lebuh Raya Pan Borneo yang mengabaikan piawaian keselamatan pembinaan jalan tersebut kepada pengguna.
Sumber: Sarawak Voice
Comments