top of page

41 tapak pembinaan diperiksa JKKP Negeri Sembilan


SEREMBAN 28 Ogos - Sebanyak 41 tapak pembinaan telah diperiksa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Sembilan dalam 'Ops KKP di Tapak Bina' yang diadakan pada Mac dan bulan ini.


Pengarah JKKP negeri, Izani Mohd. Zain berkata, sebanyak 155 notis pembaikan dan larangan dikeluarkan, manakala 128 kawasan kerja di Nilai, Port Dickson, Jelebu dan di sini disita kerana pelbagai kesalahan oleh majikan dan kontraktor.


"Antara kesalahan yang banyak dilakukan adalah perancah tidak selamat, tepian terbuka melibatkan kerja-kerja di tempat tinggi, tiada pelan bagi aktiviti mengangkat, tiada pengendali perancah kompeten dan ketiadaan laluan keluar masuk selamat ke perancah dan lubang korekan.

"Kegagalan mematuhi peraturan boleh menyebabkan majikan dan kontraktor dikenakan denda maksimum sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan yang disabitkan," katanya dalam sidang akhbar selepas menutup operasi itu di sebuah tapak pembinaan apartmen di Seremban 2 di sini hari ini.


Yang turut serta timbalannya, Ghafar Kaprawi; Ketua Bahagaian Operasi JKKP negeri, Wan Nur Khafizah Wan Abdullah dan Ketua Seksyen Kerja Bina JKKP negeri, Ir. Saifuladili Jaafar.


Izani memberitahu, sehingga kini satu kes telah didakwa di mahkamah manakala 77 kes pertuduhan kesalahan kompaun dikeluarkan dengan kutipan berjumlah RM67,500.


Ujarnya, dalam operasi sama pada tahun lalu, sebanyak empat pendakwaan dijalankan dengan 54 kompaun dikeluarkan melibatkan kutipan berjumlah RM102,500.


Beliau berkata, sehingga kini satu kes kemalangan maut dalam sektor pembinaan dilaporkan di negeri ini melibatkan kejadian di Port Dickson baru-baru ini.


Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan majikan dan kontraktor supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi mengelak kes kemalangan tertimbus di dalam lubang semasa melakukan kerja.


"Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan kes-kes seumpama itu yang tidak seharusnya berlaku kerana kita telah menyediakan garis panduan yang perlu difahami segenap lapisan pekerja di tapak pembinaan," katanya.


Ujarnya, pihak yang terlibat dalam industri pembinaan perlu sentiasa mewujudkan budaya pencegahan dan mengutamakan aspek keselamatan sekalipun tiada operasi dijalankan oleh pihak berkuasa.



84 views
bottom of page