top of page

4 syarikat ditarik balik kebenaran beroperasi



KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menarik balik kebenaran operasi terhadap empat syarikat yang didapati melanggar syarat kelulusan yang ditetapkan.

Selain itu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia dan polis menjalankan siasatan ke atas 35 syarikat yang dilaporkan melanggar syarat yang ditetapkan kementerian berkenaan.


Menteri Kanan (Kluster Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, orang awam boleh membuat aduan sama ada secara terus kepada polis atau kementeriannya sekiranya mengetahui sebarang kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan syarikat.


Katanya, langkah pembukaan operasi syarikat secara berperingkat dengan syarat pematuhan yang ketat adalah untuk memastikan bekalan makanan, bekalan ubat dan peralatan perubatan mencukupi serta beberapa sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana serta sektor kritikal dapat beroperasi bagi meringankan beban rakyat serta mengurangkan kesan ke atas ekonomi negara.


“Industri pembinaan perlu patuh kepada syarat yang ditetapkan Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).


“Syarikat hendaklah mengurangkan bilangan pekerja kepada tahap paling minimum atau tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah semasa yang diperlukan.


“Syarikat perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM (Kementerian Kesihatan) dalam melaksanakan pengesanan pekerja yang dijangkiti Covid-19,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.


Mohamed Azmin berkata, selain itu, syarikat perlu menyediakan pengangkutan bagi pergerakan pekerja dengan mengamalkan penjarakan sosial dan selamat manakala kenderaan yang digunakan perlu dinyah cemar kuman sebelum dan selepas digunakan.


Katanya, syarikat juga hendaklah memberikan pemahaman dan garis panduan menangani Covid-19 kepada rantaian nilai mereka.


“Sekiranya syarikat menyediakan kemudahan ‘Centralised Labour Quarter’ (CLQ) untuk pekerja, pihak syarikat perlu memastikan ianya mematuhi Garis Panduan CLQ dan Penginapan Pekerja Binaan Semasa PKP yang dikeluarkan oleh CIDB serta mana-mana agensi yang berkaitan.


“Pasukan penguat kuasa yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya, CIDB, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sudah diwujudkan untuk memantau dan menguatkuasa pematuhan syarikat yang diluluskan serta mengambil tindakan ke atas syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan,” katanya.


Beliau berkata, MITI turut bekerjasama dengan polis dan JTK untuk memantau aktiviti industri yang wajib patuh kepada SOP yang ditetapkan.


“Ketidakpatuhan SOP ini adalah satu kesalahan jenayah di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No. 3) 2020,” katanya.


Sumber: Harian Metro


7 views
bottom of page