top of page

200 pembeli rumah kos rendah dakwa ditipu pemaju


200 pembeli rumah kos rendah dakwa ditipu pemaju Harian Metro www.hmetro.com.my
SEBAHAGIAN mangsa yang menyertai demonstrasi aman di Kampung Guntong. FOTO Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Hampir 200 pembeli rumah kos rendah mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pemaju perumahan selain turut diberi 'janji kosong' untuk bayaran balik deposit dengan nilai keseluruhan kerugian hampir setengah juta ringgit.


Nilai berkenaan membabitkan pulangan semula deposit sebanyak RM2,500 yang dibayar setiap mangsa pada awal persetujuan untuk mereka membeli rumah terbabit.


Mangsa yang terbabit membabitkan beberapa kawasan seperti di Projek Perumahan Salor 2, Projek Perumahan Salor 3, Projek Perumahan Peringat 3, Projek Perumahan Kampung Limbat dan Kampung Badang, di sini, serta beberapa jajahan lain seperti di Jeli dan Kuala Krai.


Mangsa, Siti Norihan Mohd Alias, 40, berkata dia bersama 10 orang saudara menjadi mangsa kepada pemaju sama selepas bersetuju untuk membeli rumah itu pada 2010 dan dijanjikan siap sepenuhnya pada 2014.


Katanya, namun begitu sehingga 2015 kediaman yang dijanjikan masih tidak disiapkan atas beberapa alasan membabitkan masalah teknikal oleh pihak pemaju, walaupun mereka membayar tanpa gagal sebanyak RM235 sebulan.


"Sebenarnya daripada awal proses pembayaran sudah ada perasaan ragu-ragu kerana setiap bayaran adalah ke akaun milik persendirian disyaki isteri kepada pemaju, malah ada antara mangsa yang mendakwa terus membayar kepada pemaju itu sendiri.


"Tetapi kami diyakinkan dengan proses pembayaran dan pengurusan yang telus, lebih-lebih lagi di awal perjanjian pemaju terbabit adalah berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Negeri Kelantan. Selain itu, kami turut melihat sendiri kawasan perumahan yang dalam pembinaan.


"Kemudian, saya mengambil keputusan datang ke pejabatnya di Kota Bharu untuk berjumpa dengan pemaju sebelum diberi penjelasan bahawa syarikat mereka mengalami sedikit masalah, selain dijanji untuk diberi pemilikan rumah sepenuhnya pada 2020," katanya ketika ditemui selepas turut serta dalam demonstrasi aman bersama mangsa lain di Projek Perumahan Peringat 3, Kampung Guntong, di sini, semalam.


Seramai hampir 50 individu yang didakwa menjadi mangsa projek perumahan pemaju yang sama berkumpul dalam demonstrasi aman berkenaan bertujuan untuk mendapatkan keadilan serta memohon pihak berwajib untuk tampil membantu menyelesaikan masalah itu.


Tinjauan ke Projek Perumahan Peringat 3, di sini, mendapati hampir 90 peratus rumah siap dibina namun ditinggalkan tanpa bekalan air atau elektrik dengan hanya lima daripada 52 buah rumah yang berpenghuni selain jalan masuk yang tidak berturap dan berbecak.


Sementara itu, bagi Teo Lian Fia, 60, dia sudah membayar penuh harga rumah yang dibeli dengan nilai RM42,000 tetapi masih tidak diberi geran pemilikan rumah selain mendapati kediaman berkenaan tidak dibina dengan baik.


"Bukan sahaja dilihat terbiar, malah paip air juga bocor dan ada banyak kerosakan berlaku. Saya beberapa kali cuba untuk bertemu mata dengan pemaju tetapi gagal, malah dia beberapa kali menukar staf yang ditugaskan berurusan dengan pembeli.


"Masalah ini bukan terjadi kepada kami sahaja malah dijangka lebih ramai lagi. Semuanya dipercayai ditipu oleh seorang individu yang sama, jadi kami merayu kepada pihak bertanggungjawab untuk tampil membantu.


"Pelbagai usaha dilakukan termasuk sudah membuat beberapa laporan polis namun inisiatif ini dilihat sia-sia sahaja, bukan sahaja wang kami lenyap puluhan ribu ringgit, malah deposit serendah RM2,500 juga lesap," katanya.


Dalam perkembangan sama, usaha pihak media untuk menghubungi pemaju dan juga staf tidak berjaya walaupun sudah dihubungi beberapa kali.


Sumber: Harian Metro

4 views

Comments


bottom of page