top of page

2,785 syarikat dilantik terbabit dalam projek ECRL


2,785 syarikat dilantik terbabit dalam projek ECRL
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). FOTO ARKIB NSTP

2,785 syarikat dilantik terbabit dalam projek ECRL

Kuala Lumpur: Sebanyak 2,785 syarikat membabitkan subkontraktor, konsultan, pembekal serta pemberi perkhidmatan terbabit dalam pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, syarikat tempatan terbabit dilantik pihak kontraktor utama mengendalikan projek itu, setakat 31 Ogos lalu.


"Kontraktor utama projek ECRL adalah China Communications Construction Sdn Bhd (CCC-ECRL) yang juga kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC)," katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.


Beliau menjawab soalan dikemukakan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berhubung status projek ECRL dan jumlah syarikat tempatan dan syarikat luar yang terbabit dalam projek itu.


Setakat Ogos lalu, Hasbi berkata, pembinaan keseluruhan projek itu mencapai kemajuan sebanyak 50.29 peratus dengan puncak pembinaan ECRL membabitkan kerja struktur utama seperti pemasangan rasuk (beam launching), pembinaan stesen dan pemasangan landasan (track laying).


"Pada masa ini, kerja pembinaan seperti pembinaan jambatan yang menggunakan jentera beam launcher, kerja pengorekan, kerja struktur dan pembinaan terowong sedang giat dijalankan di sepanjang jajaran ECRL.


"Selain itu,25 terowong berjaya ditembusi setakat 25 Ogos lalu termasuk 21 terowong di Seksyen A (Kota Bharu–Dungun) dan Seksyen B (Dungun–Temerloh) manakala baki empat terowong di bawah Seksyen C (Temerloh–Pelabuhan Klang).


"Kerja pelancaran rasuk juga bermula di tujuh lokasi iaitu Kota Bharu di negeri Kelantan, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik di negeri Terengganu serta Kuantan dan Paya Besar di negeri Pahang dengan sebanyak 1,100 dari 4,328 rentang jambatan (bridge span) siap dipasang," katanya.


Katanya, berdasarkan Perjanjian Tambahan No 6 yang ditandatangani pada 2 Jun 2022, kos bagi pembinaan projek ECRL dari Kota Bharu, Kelantan sehingga ke Pelabuhan Klang di Selangor dengan jajaran sepanjang 665 kilometer serta 20 buah stesen (penumpang dan kargo) di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor masih kekal dengan nilai RM50.27 bilion.


"Pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sentiasa memberi perhatian terhadap sebarang perubahan yang boleh mengakibatkan peningkatan kos bagi keseluruhan projek ECRL," katanya.


Sumber: Harian Metro


2,785 syarikat dilantik terbabit dalam projek ECRL


bottom of page