15 peratus projek pembinaan belum berjalan semula - Fadillah



KUANTAN: Sebanyak 15 peratus projek pembinaan bawah kontrak kerajaan masih belum meneruskan semula kerja disebabkan beberapa faktor, kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak COVID-19.


Faktor itu berkaitan masalah pekerja, kekurangan bekalan bahan, kewangan dan kekeliruan berkaitan prosedur operasi standard (SOP).


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kekeliruan dihadapi kontraktor ialah berlaku penambahan syarat dan prosedur tertentu oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).


Bagaimanapun, katanya, kekeliruan itu semakin berkurangan dan dapat diatasi tetapi masalah lebih besar yang dilaporkan ialah berkaitan kekurangan bekalan bahan binaan hingga menjejaskan kelancaran projek.



"Sehingga kini, sebanyak 85 peratus projek sudah berjalan, manakala baki 15 peratus belum lagi beroperasi disebabkan beberapa masalah.


"Kontraktor yang berdepan masalah akan dibantu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau dan memantau kelancaran kerja pembinaan projek jambatan kedua Tanjung Lumpur, di sini hari ini.


Projek pembinaan jambatan kedua Tanjung Lumpur dengan kos RM155.8 juta dijangka siap sepenuhnya pada 25 September ini.


Jambatan baharu sepanjang 451 meter yang merentasi Sungai Kuantan itu dapat mengurangkan kesesakan trafik di bandar ini termasuk pada hujung minggu.


Bagi memastikan tiada kluster baharu membabitkan kawasan tapak projek berikutan berlaku peningkatan kes COVID-19, Fadillah meminta pematuhan SOP dipertingkatkan.


Katanya, penggunaan pelitup muka, penjarakan sosial dan kebersihan diri perlu diberi perhatian utama terutama bermula 1 Ogos ini.


"Pendaftaran dan pemeriksaan suhu di semua industri perlu dilakukan untuk memudahkan pemantauan jika berlaku kes.


"Dalam kes COVID-19 ini, kita belum lagi berjaya mencegah wabak itu.


"Pada 8 Ogos ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melancarkan kempen mengamalkan normal baharu dalam usaha mencegah penularan COVID-19," katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #KKR #Covid19

45 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.