top of page

12 projek sakit babit fasiliti kesihatan seluruh negara


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 12 projek 'sakit' membabitkan fasiliti kesihatan di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (tengah) membuat lawatan ke tapak projek menaiktaraf Hospital Papar semasa lawatan kerja ke Sabah hari ini. Turut kelihatan, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin (kiri). - Foto NSTPMohd Adam Arinin

PAPAR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 12 projek 'sakit' membabitkan fasiliti kesihatan di seluruh negara.


Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata di negeri Sabah, terdapat tiga fasiliti kesihatan yang dikategorikan sebagai projek sakit iaitu Hospital Papar, Hospital Beaufort dan Klinik Kesihatan Sikuati, Kudat.


Kelewatan proses pelaksanaan pembinaan Hospital Papar adalah 11.72 peratus (89 hari); Hospital Beaufort 45.97 peratus (553 hari) manakala Klinik Kesihatan Sikuati 37.12 peratus (271 hari).


Mengulas mengenai tinjauan ke tapak projek naik taraf Hospital Papar hari ini, Dr Zaliha berkata projek yang sepatutnya bermula pada 23 Mei 2017 itu telah mengalami kelewatan.



Kelewatan bagaimanapun dijangka dapat dipulihkan dan disiapkan pada penghujung tahun ini serta mula beroperasi pada bulan Mac tahun hadapan.


"Kita telah mendapat taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) apakah masalah dan kekangan yang dihadapi dan kita kategorikannya sebagai projek sakit.


"Kita telah lihat perkembangannya (proses pembinaan naik taraf Hospital Papar) pada masa kini adalah 62 peratus dan ia agak keterbelakang sedikit daripada jangkaan, 70 peratus.


"Oleh itu, kita akan terus menjalankan pemantauan dan perbincangan akan dilakukan antara KKM, JKR, kontraktor dan beberapa pihak berkepentingan lain untuk kita lihat bagaimana boleh terus memacu projek ini," katanya.


Beliau berkata demikian selepas melawat tapak projek naik taraf Hospital Papar, hari ini.


Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin.



Dr Zaliha juga turut menjelaskan antara faktor kelewatan projek naik taraf Hospital Papar ialah pandemik COVID-19 menyebabkan projek tertangguh selama tiga tahun.


Dr Zaliha turut menjelaskan projek itu telah diluluskan dengan kos RM98.5 juta membabitkan pembinaan wad dengan pertambahan 84 katil yang merangkumi wad pediatrik, wad wanita dan lelaki. Apabila siap, hospital itu akan mempunyai 161 katil.


Sumber: Berita Harian


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page