top of page

108 syarikat tempatan dapat manfaat kontrak RM9 bilion oleh Petronas



KUALA LUMPUR: Sebanyak 108 syarikat tempatan mendapat manfaat di bawah Program Pembangunan Vendor (VDP) yang dilaksanakan Petronas dengan nilai kontrak berjumlah kira-kira RM9 bilion sehingga Oktober lalu.


Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata VDP adalah antara program yang dilaksanakan Petronas bagi memastikan lebih ramai vendor serta perunding tempatan terbabit secara aktif dan kompetitif dalam industri minyak dan gas.


“Pelbagai usaha, program dan inisiatif terus dilaksanakan Petronas dengan kerjasama kementerian dan agensi seperti VDP, VDPX, VDP Inovasi dan Teknologi, Program Lestari, ‘BeyondHome’ dan program pembiayaan vendor perkhidmatan minyak dan gas serta peralatan (OGSE) Petronas,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan asal Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) mengenai banyak rungutan dalam kalangan perunding industri minyak dan gas yang masih banyak menggunakan perunding luar negara dan tidak memberi kepercayaan atau peluang kepada perunding tempatan.


Hasan juga bertanya jumlah perunding luar negara yang masih digunakan Petronas dan bidang kepakaran mereka.


Mohamed Azmin berkata, lebih 60 peratus syarikat perunding yang dilantik Petronas bagi industri minyak dan gas adalah syarikat perunding tempatan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.


Bagaimanapun, katanya, bagi skop kerja yang terlalu khusus dan teknikal seperti kejuruteraan, pemilikan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) serta teknologi proprietari serta digital, kepakaran tempatan sangat terhad dan perlu diperoleh daripada sumber luar.


“Sebagai contoh, teknologi pemetaan seismik laut dalam hanya dimiliki segelintir syarikat global dan kepakaran ini tidak dimiliki mana-mana perunding tempatan atau boleh dibangunkan dalam masa yang singkat oleh Petronas sendiri.


“Selain itu, kerja yang dilaksanakan perunding luar ini memerlukan kos modal yang tinggi, berteknologi tinggi, kompleks dan rumit kerana lapangan minyak dan gas yang ada sekarang adalah di laut dalam dan mempunyai kadar kontaminan yang tinggi.


“Untuk makluman, hanya terdapat empat firma global yang menawarkan khidmat teknologi pemetaan seismik laut di dunia,” katanya.


Mohamed Azmin berkata, pelantikan perunding atau vendor dari luar negara adalah bagi memastikan kelangsungan projek dan sasaran kritikal dicapai.



43 views
bottom of page