Ipoh: Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), anak syarikat kerajaan negeri yang fokus kepada pembangunan hartanah komited memastikan 10,043 unit rumah yang dalam fasa pembinaan disiapkan sepenuhnya menjelang 2028.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Zulkefli Abdullah berkata, sebanyak 841 unit rumah berjaya disiapkan antara 2017 sehingga kini, termasuk 610 unit Rumah Perakku sebagai komponen dalam skim perumahan yang dikendalikan mereka.
Menurutnya, pencapaian dalam projek rumah bantuan bersasar itu membuktikan komitmen SSI sebagai salah sebuah peneraju flagship Perumahan Sejahtera dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
"SSI selaku salah satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipertanggungjawabkan dalam sektor pembangunan hartanah, kami memberi sumbangan dalam menyediakan perumahan sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan negeri.
"Program Rumah Perakku ini adalah contoh bantuan khusus bagi memenuhi keperluan golongan B40 dengan memberi peluang kepada mereka memiliki rumah pada harga mampu milik dan bukan mampu tengok.
"Kami turut bekerjasama dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) untuk mendapatkan data berkenaan permohonan bagi memastikan pembeli unit Rumah Perakku benar-benar layak dan sesuai dengan tahap kewangan rakyat Perak," katanya.
Berdasarkan Dasar Perumahan Negeri Perak, katanya, pemajuan skim perumahan melebihi 20 ekar mesti menyediakan rumah pada harga serendah RM90,000 sebuah meliputi 10 peratus, rumah kos sederhana berharga RM160,000 hingga RM180,000 (20 peratus) dan rumah mampu milik berharga RM250,000 (20 peratus).
"Baki 50 peratus lagi, baru pemaju kami boleh jual pada harga pasaran terbuka. Jadi, lebih banyak projek yang kami buat, bermakna lebih banyak unit Rumah Perakku boleh kami sediakan.
"Tanah yang sudah dikenal pasti berpotensi dimajukan, kami akan bagi keutamaan berdasarkan kesesuaian tapak dan aspek lokasi serta permintaan di kawasan itu," katanya.
Zulkefli berkata, 610 unit Rumah Perakku yang berjaya disiapkan oleh SSI setakat ini merangkumi Changkat Kinding Tanjung Rambutan dan Pengkalan Elemen@18 di daerah Kinta, Assam Kumbang (Larut Matang & Selama), Gerik (Hulu Perak) dan Dennistown (Kerian).
Tambahnya, SSI juga berperanan menggerakkan pertumbuhan perbandaran dengan memberi sokongan kepada aktiviti ekonomi melalui pembinaan premis perniagaan dan menjalankan pembangunan bercampur di kawasan strategik.
"Untuk rekod, sehingga kini sebanyak 180 unit premis perniagaan sudah siap sepenuhnya, dalam pembinaan (429) dan masih dalam perancangan (153)," katanya.
Sumber: Harian Metro
10,043 unit rumah mampu milik siap menjelang 2028
Comments