top of page

SOP semasa PKPB lebih ketat


Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa. FOTO/BERNAMA

PUTRAJAYA: Prosedur operasi standard (SOP) di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan akan lebih ketat selepas kerajaan mengumumkan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) empat minggu lagi sehingga 9 Julai ini.


Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pada peringkat PKP fasa satu hingga tiga, penekanannya adalah di peringkat pergerakan dan hasilnya kini sudah mula menunjukkan kemajuan.


Bagaimanapun, Annuar berkata, faktor kritikal kini semasa PKPB adalah penguatkuasaan SOP di semua tempat dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penyebaran virus COVID-19.


"Dari segi pihak berkuasa tempatan (PBT) ia akan dipantau oleh Pusat Pengurusan Krisis (CMC) bagi memastikan kawasan berisiko tinggi akan diberi penekanan yang lebih, antara yang kita kenal pasti ialah tapak pembinaan.


"Setakat PKPB, kita dapat mengenalpasti di tapak pembinaan berlaku beberapa kes kerana SOP di situ tidak dilaksanakan dengan sebaiknya iaitu tiada penjarakan sosial dan tidak menjaga kebersihan.


"Atas sebab itu, semasa PKPB ini kita arahkan mana-mana tapak pembinaan yang tidak mematuhi SOP, mereka diminta untuk tutup, begitu juga restoran dan kedai makan yang tidak patuh SOP," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Al Quran Mushaf Putrajaya sempena Nuzul Quran dan Sambutan Jubli Perak Putrajaya, di Nasyrul Quran, di sini


Sementara itu, dalam perkembangan berlainan Annuar berkata terdapat laporan mengenai restoran yang menyediakan minuman keras tidak dibenarkan beroperasi semasa PKPB.


"Isunya bukan minuman keras atau tidak, isunya ialah premis yang diberikan lesen restoran ia masuk dalam senarai boleh beroperasi dengan SOP tertentu.


"(Bagaimanapun) premis yang dikeluarkan lesen pub iaitu tempat menjual minuman keras, walaupun ia juga menjual makanan tetapi lesen yang dikeluarkan ialah pub.


"Ia tidak boleh dibuka kerana ia sama kategori dengan senarai pusat hiburan, pusat karaoke dan refleksiologi," katanya.



8 views
bottom of page