top of page

Selenggara sistem saliran dua kali setahun elak banjir


Kenderaan meredah banjir di Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu, 5 Oktober lalu. - NSTP/Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sistem saliran dan perparitan perlu diselenggara sekurang-kurangnya dua kali setahun sebagai langkah mencegah banjir khususnya di kawasan sering dilanda bencana itu.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam, berkata langkah itu perlu dilaksanakan bagi menangani masalah banjir sering melanda sembilan kampung di kawasan berkenaan.


Beliau berkata, kampung terbabit ialah Lingkungan, Inuman, Maraba, Banting, Pulai Manag, Bukau, Tamalang Along, Lumadan dan Padas Valley.


"Isu banjir sering menghantui rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.


Setiap kali hujan lebat, rakyat sudah pasti resah gelisah dan tidak dapat tidur lena kerana bimbang rumah mereka dinaiki air.


"Justeru, saya memohon agar sistem perparitan dan saliran di DUN saya dapat diselanggara sekurang-kurangnya dua kali setahun. Jika tidak diselenggara dengan baik ia akan menyebabkan banjir kerap berlaku di kawasan kampung," katanya pada sesi perbahasan belanjawan negeri, Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.


Banjir kerap di kawasan Lumadan terutama apabila tiba musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut yang diramal membawa banyak hujan hingga menyebabkan banjir pada setiap awal tahun bermula dari Januari hingga Mac.


Ruslan kali pertama menjadi wakil rakyat di DUN Lumadan selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September lalu, berkata banjir menyukarkan kehidupan penduduk kampung, selain merosakkan harta benda mereka.


"Oleh itu, saya amat merayu supaya sistem perparitan dan saliran di lapan kampung sering dilanda banjir ini diselanggarakan sekurang-kurangnya dua kali setahun," katanya.


Katanya, keprihatinan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor terhadap masalah rakyat di negeri ini, termasuk di Lumadan meningkatkan lagi keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap pemerintahan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Dalam hal lain, Ruslan meminta kerajaan negeri menambah pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasannya kepada 50 rumah setahun berbanding hanya lima rumah sebelum ini.


"Sebagai wakil rakyat di DUN Lumadan, saya berharap penambahan pembinaan rumah PPRT ini dapat mensejahterakan rakyat di kawasan saya.


"Jumlah penduduk yang memerlukan bantuan rumah di DUN Lumadan semakin ramai dan sekiranya kerajaan negeri dapat ditambah, ia sudah pasti dapat memenuhi objektif PPRT ke arah meningkatkan kualiti hidup keluarga miskin tegar dan miskin.


"Ia penting bagi menyediakan tempat kediaman lebih selamat dan selesa sebagai asas pertumbuhan sesebuah keluarga. Sudah pasti rakyat di DUN Lumadan merasa terbela," katanya.


16 views
bottom of page