top of page

Anggaran kos MRT3 RM50.2 bilion


Anggaran kos MRT3 RM50.2 bilion Berita Harian www.bharian.com.my
MRT laluan Putrajaya Fasa 1 dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu adalah sepanjang 17.5km. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3) dianggarkan membabitkan belanja RM50.2 bilion secara keseluruhan, dengan anggaran kos pembinaan sahaja mencecah RM34.3 bilion.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata daripada jumlah itu, RM8.4 bilion membabitkan kos pengambilan tanah, manakala RM5.6 bilion lagi adalah untuk pengurusan projek serta lain-lain kos, RM1.9 bilion.


Katanya, kerajaan pada 4 Mac 2022 bersetuju dengan pelaksanaan Projek MRT3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu milik dan cekap untuk keselesaan dan kemudahan rakyat.


"Cadangan laluan MRT3 ini adalah sekitar 51 kilometer (km) dan mempunyai 31 stesen, di mana 10 daripadanya akan menjadi stesen pertukaran dengan lapan laluan rel sedia ada di Lembah Klang," katanya dalam jawapan lisan menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat.


Fahmi bertanyakan jumlah kos pembinaan MRT3 dengan pecahan terperinci jumlah terbabit dan sama ada kerajaan akan mendapatkan persetujuan Parlimen bagi pelaksanaan MRT3.


Mengulas lanjut, Zafrul berkata, bagaimanapun kos keseluruhan projek akan dimuktamadkan selepas proses tender terbuka selesai.


Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada Mei lalu memaklumkan sudah membuka tiga pakej tender membabitkan projek MRT3 kepada kontraktor yang layak.


MRT3 atau dikenali sebagai Laluan Lingkaran membabitkan lingkaran sepanjang 50.8 km meliputi 40.1km di laluan atas manakala 10.7 km laluan bawah tanah.


Jajaran terkini projek itu juga berbentuk lingkaran sekitar Kuala Lumpur dengan 39km terletak di Kuala Lumpur dan 12km lagi di Selangor, dijangka bermula secara berperingkat pada 2028.


MRT3 Laluan Lingkaran akan menambah baik kesalinghubungan yang diperlukan pengangkutan awam lain di Lembah Klang, merangkumi pusat pembangunan utama dan pinggir bandar serta membolehkan mobiliti keseluruhan perjalanan.


Sumber: Berita Harian


Commentaires


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page