Warga Bangladesh maut ditimpa besi perancah
- Sep 14, 2021
- 1 min read

Port Dickson: Seorang pekerja warga Bangladesh maut selepas ditimpa besi perancah di Tapak Projek Pelupusan Sampah (Cypark) di Tanah Merah, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa Shonamoni Ghosh, 38, ditimpa kemalangan pada 2 petang.
"Mangsa yang juga pekerja dari syarikat Mega Power dimaklumkan dihempap besi perancah yang membawa muatan logam di aras lapan bangunan itu..
"Akibat kejadian itu, mangsa tidak sedarkan diri dan dibawa ke Klinik Kesihatan Lukut untuk pemeriksaan lanjut sebelum pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia, katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal di aras lapan itu mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat dihempap.
Menurutnya, pemeriksaan luaran tubuh mangsa mendapati tiada kecederaan luaran dan tiada unsur jenayah, sebaliknya kemalangan di tempat kerja.
"Ujian calitan pertama pada 3 petang hari ini mendapati mangsa negatif Covid-19 sebelum dirujuk ke Hospital Port Dickson untuk ujian Covid-19 kali kedua.
"Bedah siasat mangsa akan dilakukan pada 10 pagi esok dan pihak waris iaitu adik mangsa sudah dimaklumkan dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Sumber: Harian Metro





Comments