top of page

Transaksi hartanah kediaman sekunder dijangka meningkat tahun ini - iProperty.com.my


Berdasarkan data Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, projek bertanah dan bertingkat tinggi mencatatkan transaksi tertinggi bagi tempoh di antara Julai 2021 dengan Jun 2022. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah dalam talian, iProperty.com.my yang sebahagian daripada PropertyGuru Group, menjangkakan jumlah transaksi hartanah kediaman sekunder meningkat tahun ini.


Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata permintaan terhadap unit bertingkat tinggi berharga kira-kira RM500,000 boleh terus meningkat di Selangor dan Pulau Pinang.


"Susulan pengecualian setem penuh yang diumumkan baru-baru ini untuk pembeli rumah kali pertama, kami berharap aktiviti pasaran sekunder akan terus stabil di samping pembeli rumah mengambil kesempatan daripada insentif kewangan ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Pembeli rumah kali pertama boleh mendapat manfaat daripada pengecualian duti setem penuh bagi rumah bernilai RM500,000 dan ke bawah sehingga akhir 2025 dan kadar pengecualian duti setem sebanyak 75 peratus untuk rumah bernilai daripada RM500,001 hingga RM1 juta sehingga 31 Dis, 2023.


iProperty.com.my menjelaskan rumah teres di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur; Bukit Sentosa, Serendah di Selangor; Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat di Pulau Pinang dan Taman Universiti, Skudai, di Johor adalah antara hartanah kediaman sekunder terlaris di empat negeri utama Malaysia -- Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.


Ia termasuk hartanah kondominium di Seni Mont Kiara, Mont Kiara, Kuala Lumpur; Sg Long Residence, Selangor serta kediaman berperkhidmatan di The Tamarind, Tanjong Tokong, Pulau Pinang.


Berdasarkan data transaksi yang diperolehi daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), projek bertanah dan bertingkat tinggi mencatatkan transaksi tertinggi bagi tempoh di antara Julai 2021 dengan Jun 2022, jelasnya.


Hartanah-hartanah tersebut menyalurkan maklumat penting mengenai keutamaan pembelian pengguna dalam tempoh pemulihan ekonomi pasca-pandemik di Malaysia, menurut iProperty.com.my.


Fernandez berkata kebanyakan hartanah terlaris dalam tempoh ini mempunyai hak milik pegangan bebas.


"Jumlah transaksi hartanah dalam pasaran hartanah kediaman sekunder di Selangor dan Johor, dengan saiz binaan melebihi 1,100 kaki persegi, adalah amat menggalakan.


"Di samping itu, hartanah paling laris khusus di Kuala Lumpur yang dilengkapi dengan kemudahan terbaik dalam persekitaran yang tenang dan hijau, menunjukkan kebolehidupan adalah faktor penting bagi pembeli rumah. Sementara itu, hartanah bertanah terus mendominasi di Johor," katanya.


Sumber: Astro Awani

7 views

Σχόλια


bottom of page