top of page

TNB Genco belanja lebih RM100 juta setahun selenggara empangan


TNB Genco belanja lebih RM100 juta setahun selenggara empangan Berita Harian www.bharian.com.my
Lawatan media bersama TNB Genco di Empangan Susu, Ulu Jelai

CAMERON HIGHLANDS: TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) membelanjakan lebih RM100 juta setiap tahun bagi tujuan operasi dan penyelenggaraan semua stesen jana kuasa dan empangan miliknya di Semenanjung.


Ketua Pegawai Operasi TNB Genco, Datuk Ir Roslan Abd Rahman, berkata daripada jumlah itu, stesen jana kuasa dan empangan di Cameron Highlands menyumbang kos paling tinggi iaitu kira-kira RM40 juta setahun.


Katanya, faktor yang menyumbang kepada kos tinggi itu disebabkan masalah pemendapan dan sampah yang banyak di empat empangan Cameron Highlands.


"Pemendapan sebenarnya telah lama berlarutan kerana seperti kita tahu, aktiviti pembinaan di Cameron Highlands begitu rancak yang menjadi antara punca utama masalah ini.


"Bagi menangani pemendapan ini, kami terpaksa membelanjakan hampir RM30 juta setahun bagi tujuan mengorek dan membuang pasir yang termendap dalam empangan.


"Jika tidak, ia boleh menyebabkan kapasiti air empangan terus berkurangan sehingga menjejaskan penjanaan tenaga elektrik, selain mampu memberi kesan dari segi takungan air dan mengakibatkan limpahan jika tidak ditangani dengan betul," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika lawatan media ke stesen jana kuasa elektrik dan empangan Cameron Highlands, baru-baru ini.


Yang turut hadir, Pengurus Besar Hal Ehwal Stakeholder TNB Negeri Pahang, Datuk Baderul Sham Saad dan Pengurus Besar Stesen-stesen Jana Kuasa (SSJ) Cameron Highlands, Sa'aidan Abu Hassan.


Mengenai perancangan TNB Genco untuk membuka empangan baharu pada masa depan, beliau berkata, ia memerlukan kajian terperinci dan agak lama.


"Untuk pengetahuan, pembinaan empangan perlu mengambil kira banyak perkara dan juga kajian antaranya Kajian Penerimaan Awam dan Sosial, Kajian Impak Alam Sekeliling (EIA), Kajian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Impak Warisan (HIA).


"Empangan terbaru yang akan dibina ialah di Nenggiri, Gua Musang yang diumumkan baru-baru ini," katanya.


Kerajaan pada pertengahan Jun lalu mengumumkan pembinaan Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion yang dijangka bakal menjana 300 megawatt (MW) dan mula beroperasi pada pertengahan 2027.


Sumber: Berita Harian


Comentarii


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page