KUCHING: Kementerian Kerja Raya sedang meneliti kekangan pelaksanaan dan penyenggaraan serta keberkesanan pelan mitigasi yang sedang dilaksanakan bagi memastikan kelancaran projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak dalam tempoh penularan pandemik COVID-19.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia berikutan aduan yang diterima berhubung prestasi pembinaan LPB Sarawak, khususnya di laluan antara Sarikei ke Bintulu.
Justeru katanya, beliau akan lebih kerap turun padang bagi meninjau sendiri pelaksanaan projek mega bernilai RM16.117 bilion itu.
"Tinjauan itu adalah sebagai langkah proaktif Kementerian Kerja Raya untuk bekerja bersama rakyat melalui tinjauan tapak dan sesi libat urus, bagi memastikan pelan mitigasi pemulihan ekonomi pelaksanaan projek LPB Sarawak berkesan dan berimpak tinggi.
"Pemantauan yang dibuat bertujuan meneliti prestasi keseluruhan, kualiti pembinaan serta mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan pemimpin tempatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Fadillah hari ini melakukan tinjauan untuk melihat sendiri perkembangan pelaksanaan projek LPB Sarawak di Zon Tengah iaitu antara Sarikei ke Bintulu.
Ia adalah tinjauan kedua beliau dalam tempoh sebulan selepas meninjau perkembangan projek di kawasan utara iaitu antara Miri dan Bintulu pada 14 dan 15 Ogos lalu.
Tumpuan tinjauan beliau hari ini Pakej Kerja Pembinaan (WPC) di Jambatan Sungai Awik ke persimpangan Bintangor, sepanjang 64 kilometer; persimpangan Bintangor ke Jambatan Sungai Kua (76 kilometer);Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip (63 kilometer) dan Jambatan Sungai Arip ke persimpangan Lapangan Terbang Bintulu Airport (65 kilometer).
Fadillah berkata, sehingga 25 Ogos lalu, prestasi pelaksanaan keseluruhan WPC itu adalah 70.83 peratus.
Menurutnya lagi, prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) terbaharu bagi sektor pembinaan seperti peningkatan kapasiti pekerja dan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi secara berperingkat, berupaya menyuntik peningkatan positif terhadap prestasi pelaksanaan projek yang kini terganggu akibat penularan COVID-19.
Mengenai aspek operasi pembinaan, Fadillah berkata, kualiti penyenggaraan ketika pembinaan di jajaran Sibu ke Bintulu turut dikenalpasti untuk ditambah baik dengan segera.
"Ini termasuk pembaikan berkala di kawasan lencongan trafik, penambahan papan tanda jalan dan lampu tunjuk arah di kawasan kritikal selaras dengan piawaian Road Safety Audit dan Traffic Management Plan yang ditetapkan.
"Berikutan kerja pembinaan masih berjalan sehingga projek LPB Sarawak siap sepenuhnya dijangka pada September 2022, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi papan tanda jalan dan had kelajuan khususnya di sepanjang kawasan pembinaan," katanya.
Justeru, orang ramai boleh mengemukakan sebarang aduan serta pertanyaan berhubung kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan bagi projek LPB Sarawak melalui telefon, laman web serta media sosial Kementerian Kerja Raya dan JKR Sarawak.
"Rakyat Sarawak khususnya bakal menikmati jaringan jalan raya yang lebih selesa dan efisyen apabila keseluruhan Projek LPB Sarawak siap sepenuhnya.
"Projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada sektor pembinaan dan pembangunan di kawasan yang berpotensi tinggi khususnya pusat komersial dan perindustrian serta mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments