Tiga projek infrastruktur bakal lonjak ekonomi Kelantan - Mustapa



TUMPAT: Tiga projek infrastruktur yang dibangunkan di Kelantan akan mengubah landskap ekonomi negeri ini sekali gus meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan penduduk.


Tiga projek berkenaan ialah pembinaan Jambatan Palekbang - Kota Bharu, pembangunan semula Kampung Laut dan pembangunan bersepadu di kawasan Tok Bali, Pasir Puteh.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata semua projek berkenaan dilaksanakan di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).


"Projek pembinaan Jambatan Palekbang - Kota Bharu menelan kos sebanyak RM250 juta kini dalam proses reka bentuk dan dijangka siap pada penghujung November 2023.


"Jambatan ini akan menjadi pemangkin pembangunan semula Kampung Laut yang dijadikan Kampung Warisan yang mana akan turut ditempatkan semula Masjid Kampung Laut di lokasi asalnya," katanya hari ini.


Terdahulu beliau mengadakan lawatan bersama Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob untuk meninjau perkembangan projek strategik Kerajaan Persekutuan itu di tapak projek Jambatan Palekbang - Kota Bharu dan Pembangunan Semula Kampung Laut di sini.


Beliau turut mengadakan lawatan ke Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) dan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali dan mendengar taklimat berkaitan rangka strategik pembangunan kawasan itu.


Mustapa berkata, Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali akan dibangunkan sebagai tempat pemprosesan tuna bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat dan menyumbang ke arah jaminan makanan negara.


Sementara itu, Ahmad berkata, Jambatan Palekbang - Kota Bharu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan semula Kampung Laut menerusi pembangunan Kampung Warisan yang berkonsepkan 'muzium hidup' membabitkan pembinaan dua kompleks komersial iaitu Laman Warisan dan Laman Seni.


"Fasa 1 projek yang membabitkan kos sebanyak RM40 juta kini sudah siap 73 peratus dan akan siap sepenuhnya menjelang Januari 2022.


"Antara komponen utama dalam projek ini adalah berkaitan pemindahan semula Masjid Kampung Laut yang berusia kira-kira 300 tahun dan ia adalah sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan nilai sejarah, budaya dan seni bina masjid itu sekali gus menjadikannya mercu tanda warisan di Kelantan," katanya.


Sumber: Berita Harian

23 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.