PASIR MAS: Seorang penduduk di Kampung Serongga menanggung kerugian mencecah RM100,000 selepas rumah dan harta benda miliknya rosak ditenggelami air banjir sebanyak tiga kali pada tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Raha Musa, 52, mendakwa, kerugian itu turut melibatkan kematian haiwan ternakan yang merupakan aset kewangannya.
Katanya, setiap kali banjir melanda, luluh hatinya melihat kemusnahan harta benda dan kematian ternakan akibat bencana berulang kali itu.
“Sebelum ini, saya alami kerugian sebanyak RM50,000 apabila 16 ekor lembu ternakan mati lemas akibat banjir luar biasa pada Februari lalu. Ia dipercayai berpunca daripada ban Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kuala Teluk Kampung Lanchang, Rantau Panjang pecah.
“Selepas itu banjir datang lagi menyebabkan rumah saya tenggelam hampir paras bumbung sedalam dua meter. Atap zink dan dinding rumah pun reput kerana terendam dalam banjir,” katanya ketika ditemui di kampung itu, semalam.
Raha memberitahu, banjir minggu lalu dia sekali lagi dia diuji apabila lima buah motosikal kepunyaan anaknya rosak ditenggelami air.
Katanya, banjir minggu lalu disifatkan paling buruk pernah melanda kawasan rumahnya sejak 50 tahun menetap di Kampung Serongga.
“Kawasan rumah saya antara kawasan paling tinggi di kampung ini tetapi tenggelam juga.
Banjir kali ini lebih teruk berbanding Februari lalu. Saya hanya sempat menyelamatkan mesin basuh dan peti sejuk yang dialihkan ke atas bangsal rakit dibina suami, Azmi Jusoh, 54,” ujarnya.
Sementara itu, Rasdan Sukasim, 42, berkata, rumahnya tenggelam menyebabkan atap zinknya ada yang pecah dan tercabut.
“Tercabut dibawa arus deras dan disebabkan oleh bot-bot yang masuk menyelamat mangsa terperangkap banjir.
“Ekoran itu saya menanggung kerugian hampir RM10,000 apabila barangan elektrik termasuk peti sejuk, mesin basuh dan kelengkapan lain ditenggelami banjir,” katanya.
Sumber: Utusan
Comments