top of page

Tiada lagi Skim Rumah Pertamaku mulai 1 April, pembeli perlu sediakan deposit


Skim Rumah Pertamaku (SRP)
Skim Rumah Pertamaku bertamtalamt meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia -NSTP/Rohanis Shukri

Skim Rumah Pertamaku (SRP)

KUALA LUMPUR: Bermula 1 April ini, Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang mula diperkenalkan pada 2011 akan dimansuhkan, sekali gus tiada lagi kaedah untuk pembeli rumah pertama memiliki rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan.


Ini bermakna, pembeli rumah pertama selepas ini perlu menyediakan deposit 10 peratus daripada harga hartanah yang ingin dibeli sama seperti pembeli yang lain.


Cagamas Bhd, perbadanan yang bertanggungjawab menguruskan skim berkenaan, menasihatkan pemohon yang berminat untuk mengemukakan permohonan pinjaman atau pembiayaan perumahan di bawah SRP selewat-lewatnya pada 31 Mac ini.


"Cagamas ingin memaklumkan bahawa SRP akan dimansuhkan pada 1 April 2023. Sila kunjungi mana-mana cawangan bank yang mengambil bahagian atau hubungi kami di talian 03-2262 1800 untuk maklumat lanjut," katanya menerusi satu notis ringkas di laman web perbadanan gadai janji nasional itu.


Menurut maklumat yang dipaparkan di laman web Cagamas, lebih 90,000 pemohon berjaya mendapatkan pembiayaan menerusi skim berkenaan dengan lebih 90 peratus adalah golongan B40 dan belia berusia di antara 25 hingga 40 tahun.


Skim itu diperkenalkan dengan matlamat membantu pembeli yang berpendapatan kasar bulanan isi rumah di bawah RM10,000 untuk memiliki rumah pertama mereka.


SRP membolehkan pembeli rumah pertama untuk mendapat pembiayaan sehingga 110 peratus daripada bank-bank yang terbabit dan membolehkan pemilikan rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan.


Ia sejajar dengan hasrat untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia.


Pembiayaan atau pinjaman yang diperoleh untuk pembelian rumah pertama itu akan dijamin oleh Cagamas SRP Bhd.


Cagamas SRP akan menjamin sehingga 20 peratus pertama nilai pinjaman atau pembiayaan atas dasar 'kerugian pertama'.


Hartanah yang boleh mendapatkan pembiayaan di bawah SRP adalah rumah kediaman di pasaran utama dan sekunder yang terletak di dalam negara, dengan nilai maksimum adalah RM500,000.


Hartanah berkenaan juga mestilah dihuni oleh pembeli yang bermakna tidak boleh disewakan kepada pihak ketiga.


Pembeli juga diwajibkan mengambil insurans atau takaful perlindungan daripada kebakaran.


Tempoh pembiayaan rumah yang dibeli menerusi SRP adalah tidak lebih daripada 35 tahun, tertakluk kepada umur pemohon tidak melebihi 70 tahun di akhir tempoh pembiayaan


Sementara itu, untuk pembelian hartanah yang bernilai sehingga RM300,000 dan pemohon dengan pendapatan kasar bulanan isi rumah tidak lebih daripada RM5,000, mereka wajib menamatkan modul pendidikan kewangan dalam talian yang disediakan oleh Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK).


Sebanyak 23 institusi kewangan terbabit menyediakan pinjaman atau pembiayaan untuk pemohon SRP.


Pada tahun lalu, kerajaan melancarkan Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) di mana SRP disenaraikan sebagai salah satu daripada skim pembiayaan yang ditawarkan untuk membantu keluarga berpendapatan rendah memiliki rumah.


I-Biaya adalah salah satu komponen di bawah Program Pemilikan Rumah yang memberi tumpuan kepada ekosistem perumahan termasuk penyediaan rumah serta dasar lain yang berkaitan.


Selain SRP, dua lagi komponen di bawah i-Biaya adalah Skim Jaminan Kredit Perumahan oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Sewa untuk Beli (RTO) bagi Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA).


Sumber: Berita Harian


8 views

Comments


bottom of page