
IPOH: Kerajaan Perak belum berhasrat membatalkan perjanjian jual beli tanah tapak cadangan lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Seri Iskandar untuk diambil alih semula bagi meneruskan projek itu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata, perancangan pembangunan lapangan terbang antarabangsa di Perak bagaimanapun tertakluk kepada hasil Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) Kementerian Pengangkutan yang sedang dijalankan ke atas semua 42 lapangan terbang sedia ada di seluruh negara.
Katanya, kajian itu yang berlangsung bermula 7 Mac lalu dijangka dimuktamadkan pada 7 September tahun depan, dengan memberi tumpuan kepada unjuran permintaan perkhidmatan penumpang dan kargo serta komitmen syarikat penerbangan yang ingin menggunakan lapangan terbang sedia ada.
"Tanah berkenaan adalah tanah milik dan perjanjian jual beli sudah dimeterai. Pembinaan lapangan terbang baharu (sememangnya) akan meningkatkan limpahan ekonomi Perak.
"Bagaimanapun, perancangan pembangunan lapangan terbang antarabangsa di Perak adalah tertakluk kepada hasil kajian itu," katanya ketika menggulung perbahasan sempena sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, hari ini.
Saarani (BN-Kota Tampan) berkata demikian sebagai merujuk kepada perkara dibangkitkan Angeline Koo Haai Yen (DAP-Keranji) mengenai penjualan tanah itu oleh pentadbiran sebelum ini, dengan mencadangkan kerajaan negeri membatalkan perjanjian penjualan tapak itu untuk diambil alih semula bagi meneruskan projek.
Pada 25 Mei lalu, Saarani dilaporkan berkata, Kerajaan Perak tidak boleh membatalkan hak milik tanah yang dicadangkan untuk dibangunkan sebagai lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.
Beliau ketika itu dilapor berkata, ia kerana proses perjanjian jual beli antara pemilik tanah berkenaan, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan sebuah syarikat swasta sudah dilakukan secara sah sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, walaupun perjanjian jual beli tanah sudah berlangsung, namun proses pertukaran nama pemilik tanah masih belum berlaku memandangkan syarikat swasta berkenaan belum membayar sepenuhya.
Isu penjualan tanah milik PKNP seluas 188.13 hektar itu kepada syarikat swasta hangat diperkatakan sebelum ini memandangkan penjualannya didakwa tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri mahupun Lembaga Pengarah PKNP ketika itu.
Saarani sebelum ini mendakwa penjualan tanah itu berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui pentadbiran kerajaan negeri pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di bawah pentadbiran Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak ketika itu.
Sumber: Berita Harian
Comments