top of page

Tenaga stabil tepati keperluan


Tenaga stabil tepati keperluan Harian Metro www.hmetro.com.my
ILUSTRASI artis projek talian penghantaran 275kV yang bakal menjadi mercu tanda ikonik Pulau Pinang dengan reka bentuk buah pinang.

PROJEK Pengukuhan Bekalan Elektrik Pulau Pinang melalui penghantaran talian atas 275 kilovolt (KV) yang sedang dilaksanakan sebahagian daripada pelaburan berterusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam membangunkan Grid Nasional, sejajar keperluan peralihan tenaga negara.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din dalam kenyataan berkata, kerja asas sedang dijalankan yang dijangka selesai pada Ogos 2024.


Menurutnya, ia mampu menyalurkan bekalan elektrik 2,000 megavolt (MV) selepas disiapkan, sekali gus menjamin kestabilan bekalan di Pulau Pinang untuk jangka panjang.


"Komponen projek bernilai lebih RM500 juta itu merangkumi pembinaan talian atas sejauh 8.5 kilometer (km) dengan menara ikonik yang selari dengan Jambatan Pulau Pinang dan Pencawang Masuk Utama (PMU) di Perai untuk dihubungkan kepada PMU The Light yang akan dibina berhampiran Kem Tentera Batu Uban, seterusnya kabel 132KV baharu bawah tanah sepanjang 3.3 km ke PMU Gelugor," katanya.


Beliau berkata, ketika ini, bahagian pulau menerima bekalan melalui Stesen Janakuasa Gelugor dan dua kabel dasar laut serta satu kabel bawah jambatan berusia 21 hingga 38 tahun dengan kos selenggaraan tinggi dan pernah mengalami kerosakan.


Menurutnya, penghantaran terus talian atas itu membolehkan pengguna dan pelabur di Pulau Pinang menikmati sistem bekalan lebih kukuh, cekap dan stabil.


Baharin berkata, ia menepati keperluan kerajaan negeri dan rakyat Pulau Pinang yang memerlukan bekalan tenaga kukuh bagi melaksanakan pembangunan fizikal termasuk rangkaian perhubungan jalan raya, pengangkutan awam.


Ia juga meningkatkan kapasiti pelabuhan dan lapangan terbang, selain kegiatan tebus guna tanah bagi pembangunan penempatan serta komersial.


Menurutnya, TNB membuat pelaburan berterusan dalam pembangunan grid yang menjadi pemboleh utama peralihan tenaga dengan menghubungkan seluruh rantaian perkhidmatan TNB daripada penjanaan kepada penghantaran, dan pembahagian sehinggalah ke premis pelanggan.


"Kami akan terus memastikan rangkaian pembahagian TNB kekal berdaya harap, mudah pulih daripada gangguan dan diautomasikan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan masa hadapan, selaras dengan evolusi peralihan tenaga," katanya.


Mengenai pelaksanaan projek itu, beliau berkata, fasa seterusnya adalah kerja penanaman cerucuk di laut, pemasangan menara dan disusuli kerja-kerja merentang pengalir yang dijangka bermula tidak lama lagi.


Katanya, projek berkenaan mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan pelaksanaannya tidak menjejaskan dasar laut kerana pihak TNB dan kontraktor yang dilantik akan mematuhi syarat Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) untuk memelihara alam.


Sumber: Harian Metro


3 views

Comments


bottom of page