top of page

Temu duga pengambilan pekerja asing boleh diadakan di JTK negeri


Temu duga pengambilan pekerja asing boleh diadakan di JTK negeri Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Temu duga pengambilan pekerja asing boleh diadakan di JTK negeri

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengekalkan sesi temu duga pengambilan pekerja asing di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) setiap negeri dan tidak tertumpu hanya di kementerian semata-mata.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata tindakan itu diambil selepas mengambil kira aduan yang dibuat oleh pihak majikan mengenai kesukaran mereka untuk datang ke Putrajaya bagi menghadiri sesi temu duga berkenaan.


"Saya lihat ada beberapa permintaan antaranya nak kekalkan temu duga di setiap negeri, jadi mereka minta untuk kekalkan, kita akan kekalkan, KSM tiada masalah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan sesi taklimat khas KSM kepada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bagan, Ngeh Koo Ham dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran.


Sementara itu, mengenai permintaan untuk mengadakan sesi temu duga itu dalam talian, Saravanan berkata, perkara itu tidak dapat dilaksanakan bagi mengelakkan berlakunya penipuan dokumen oleh pihak majikan atau ejen.


Katanya, pihaknya pernah membuat permohonan secara dalam talian namun terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan memuat naik dokumen seperti lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang tidak sah serta penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) palsu.


"Selain itu ada juga pemilik premis yang meminta jumlah pekerja asing melebihi daripada apa yang diinginkan, contohnya ada pemilik restoran yang memerlukan pekerja sebanyak 300 namun menghantar permohonan untuk mendapatkan sehingga 1,000 pekerja.


"Tak logik restoran kecil nak minta jumlah sebesar itu, namun bila disiasat rupanya ejen yang meletakkan jumlah itu dan bukannya pemilik premis. Lebihan pekerja asing itu akan dihantar untuk bekerja dalam sektor lain.


"Disebabkan itu kita mahu mereka sendiri hadir untuk ditemuduga dan membuat aku janji mengenai pengambilan pekerja asing itu," katanya.


Mengenai taklimat itu, Saravanan berkata, pihaknya juga sudah memberikan dokumen yang sah mengenai kemasukan pekerja asing di negara ini yang secara keseluruhannya sudah mencecah 2.2 juta.


"Sehingga kini negara sudah mempunyai sebanyak 1.24 juta pekerja asing, ditambah pula dengan kelulusan sebanyak 238,000 oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diberikan kepada negara sumber serta sejumlah 640,000 lagi dalam proses biometrik dan sedang menjalani saringan kesihatan di negara sumber. Bermakna, pekerja asing di negara ini sudah mencecah 2.2 juta.


"Bagaimanapun, saya kena mengawal secara betul (kemasukan pekerja asing) kerana dua perkara boleh berlaku iaitu akan berlakunya lambakan pekerja asing seperti 2009 di mana bandar raya besar seperti Kuala Lumpur yang jalannya dipenuhi oleh pekerja asing dari Bangladesh tidur di tepi jalan.


"Dan kedua adalah kita kini dalam fasa pemulihan ekonomi serta mahu mengurangkan pengangguran, jadi kita tidak mahu terpedaya dengan permintaan industri untuk luluskan pekerja asing kerana mendapat tekanan daripada majikan, akhirnya warga tempatan tidak mempunyai kerja," katanya.


Sementara itu, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP menegaskan pertemuan yang diadakan hari ini adalah satu usahanya dengan pihak kementerian untuk mencari jalan penyelesaian bukannya meraih 'markah besar'.


Beliau berkata, dengan pertemuan yang diadakan lebih dua jam itu, Saravanan turut bersetuju dengan cadangan pihaknya supaya peranan pusat sehenti yang sebelum ini hanya terhad kepada aduan membabitkan aspek permohonan, diperluaskan untuk menguruskan aduan berhubung kemasukan pekerja asing secara keseluruhan.


Sumber: Berita Harian


8 views

Σχόλια


bottom of page