top of page

TCS kumpul RM20.7 juta penyenaraian di Bursa Malaysia


TCS Group Holdings Bhd

KUALA LUMPUR: Syarikat perkhidmatan pembinaan, TCS Group Holdings Bhd, yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia melancarkan prospektusnya hari ini bagi mengumpulkan RM20.7 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) untuk membiayai pelan pengembangannya.


Kumpulan itu berkata, dengan pelancaran prospektus itu, permohonan bagi terbitan awam dibuka bermula hari ini dan akan ditutup pada jam 5.00 petang 10 Julai ini.


Buat sementara waktu, kumpulan itu dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Sekuriti pada 23 Julai 2020.


Pengarah Urusannya, Datuk Ir Tee Chai Seng, dalam satu kenyataan, berkata syarikat itu yakin penyenaraian berkenaan akan membolehkan mereka mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri pembinaan dan mendapat akses ke pasaran modal bagi merangsang pengembangannya.

"Pada masa depan, kami merancang mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam segmen bangunan tinggi, bangunan binaan khas dan bangunan institusi, disokong oleh rekod prestasi baik kami dalam projek pembinaan bangunan.


"Selain itu, kami juga akan meningkatkan hasil kami dengan meneroka ke dalam perkhidmatan pembinaan prasarana yang termasuk jalan raya utama, lebuh raya dan jambatan. Hasil daripada IPO itu sudah pastinya akan membantu mempercepatkan usaha melaksanakan rancangan ini," katanya.


Chai Seng berpendapat prospek jangka panjang industri pembinaan kekal meyakinkan, walaupun cabaran dalam tempoh terdekat ini disebabkan penularan pandemik COVID-19, disokong oleh pelaksanaan pelbagai langkah kerajaan dan pakej rangsangan untuk mengukuhkan ekonomi Malaysia.


Kumpulan itu berkata IPO itu membabitkan terbitan awam 90 juta saham baharu mewakili 25.0 peratus daripada jumlah saham diperbesar kumpulan serta tawaran jualan sehingga 18 juta saham.


Peruntukan 90.0 juta saham baharu itu termasuk sehingga 10.8 juta saham bagi orang awam Malaysia menerusi undian, dengan sekurang-kurangnya 5.4 juta diperuntukkan bagi pelabur Bumiputera dan sehingga 7.2 juta saham bagi pengarah, kakitangan dan pekerja layak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan.


Kumpulan itu juga memperuntukkan 32.4 juta saham lagi bagi pelabur institusi dan pelabur terpilih menerusi tawaran saham persendirian dengan baki 39.6 juta saham ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.


Selepas penyenaraian di Pasaran ACE, kumpulan itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM82.8 juta berasaskan kepada harga terbitan 23 sen dan jumlah bilangan saham terbitan diperbesarkannya sebanyak 360 juta saham.

-BERNAMA



7 views
bottom of page