Tapak projek PPA1M jadi padang ragut lembu


BATU GAJAH: Seramai 44 pembeli Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Batu Gajah Perdana, di sini, resah apabila projek perumahan mampu milik itu belum dimulakan sedangkan mengikut jadual ia sepatutnya siap 2 Julai ini.


Projek membabitkan 445 unit rumah mampu milik itu dijadualkan bermula 3 Januari 2017, namun hingga kini tapak projek hanya dibersihkan dan dipagar tanpa sebarang kerja pembinaan.


Keadaan itu membimbangkan kesemua 44 pembeli yang juga penjawat awam dan sudah menandatangani perjanjian jual beli pada tahun lalu serta mengeluarkan perbelanjaan termasuk 10 peratus wang pendahuluan dan kos guaman.


Seorang pembeli, Mohd Syamil Saari, 32, berkata keadaan itu disedari pembeli sejak September tahun lalu apabila mendapati projek berkenaan tiada perkembangan sebelum bertanyakan kepada pemaju.


“Kami difahamkan projek ini sudah diambil alih pemaju baharu dan pada Oktober lalu kami menerima e-mel daripada pemaju berkenaan mengatakan harga rumah itu sudah meningkat dan pembeli perlu menambah bayaran hingga 50 peratus daripada harga asal yang ditandatangani.


“Perkara ini menyebabkan kami sebagai pembeli berasa tertipu dan tertekan kerana semua urusan pembelian sudah lama selesai, termasuk pinjaman dengan Lembaga Pinjaman Perumahan Sektor Awam (LPPSA).


“Namun disebabkan masalah di pihak pemaju, kini kami yang terpaksa menanggungnya,” katanya ketika ditemui bersama beberapa pembeli lain di tapak projek perumahan berkenaan, di sini, hari ini.


Mohd Syamil berkata, harga asal ditawarkan adalah antara RM143,000 hingga RM198,000 dan dia membeli rumah dengan harga RM159,000, namun kini dimaklumkan harga pembelian adalah RM260,000.


N Ganesan, 27, pula berkata, dia sudah mengeluarkan kos kira-kira RM20,000 untuk membeli rumah itu dan berasa tertekan apabila dimaklumkan harga rumah sudah meningkat.


Katanya, dia mahukan rumah itu mengikut harga asal yang sudah ditandatangani sebelum ini dan sanggup menunggu ia disiapkan walaupun lambat.


“Kami tidak bersetuju jika pemaju ingin menjualnya dengan harga baharu. Mereka perlu bayar segala kos yang kami belanjakan selama ini.


“Hasrat saya ingin memiliki dan mendiami rumah pertama sendiri pada Julai ini nampaknya tidak akan tercapai melihatkan projek ini yang terbengkalai dan kini hanya menjadi padang ragut lembu,” katanya.


Sementara itu, Norshazmil Mohd Noh, 27, memohon campur tangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menyelesaikan masalah dialami pembeli perumahan berkenaan.


“Masalah ini sudah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar dan kami juga akan menghantar surat rasmi berserta dokumen berkaitan kepada pihak Menteri Besar, seawalnya Selasa depan.


“Aduan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sudah dibuat dan kami dijangka bertemu pihak peguam pemaju pada Jumaat depan bagi mengetahui perkembangan lanjut mengenai masalah ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian


#evolusibina

3 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.