KOTA KINABALU: Ini bukan masa yang sesuai untuk memperkenal semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Ketika ekonomi negara masih dalam proses pemulihan, kerajaan seharusnya menangguhkan pelaksanaan GST dan mengurangkan pelaksanaan projek-projek mega.
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sekarang bukan masa sesuai untuk memperkenal semula GST kerana rakyat berada dalam kesukaran dengan harga barang meningkat dan kadar pengangguran tinggi.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh memikirkan mahu memperoleh hasil semata-mata, sebaliknya mereka perlu mengurangkan projek-projek mega yang tidak memberi implikasi kepada ekonomi.
“Ada sesetengah projek bukan menjadi keutamaan pada masa ini. Jadi, tidak perlu melaksanakan projek yang besar dan memerlukan peruntukan berbilion ringgit.
“Sekarang rakyat sedang susah maka, tidak sesuai untuk melaksanakan GST yang hanya akan menambah bebanan rakyat dan menjejaskan usaha memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Menurut beliau, langkah perlu diambil bagi mengurangkan perbelanjaan negara tanpa perlu melaksanakan GST.
Malah katanya, kerajaan perlu menghentikan perjalanan menteri ke luar negara buat sementara waktu.
“Ini antara langkah penjimatan yang perlu diambil bagi mengurangkan bebanan kewangan kerajaan dan bukannya membebankan rakyat dengan melaksanakan semula GST tapi perbelanjaan tidak mahu dikurangkan,” ujarnya.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pelaksanaan GST hanya membebankan rakyat dan melembabkan lagi ekonomi negara yang kini belum pulih sepenuhnya.
“Saya yakin dan percaya GST bukan langkah bijak untuk dilaksanakan dalam suasana rakyat dibebankan masalah kekurangan pendapatan dan pengangguran yang semakin meningkat,” katanya.
Dalam siaran langsung dalam Facebooknya semalam, Mohd. Shafie menjangkakan negara berhadapan dengan masalah sekuriti makanan bukan hanya di Malaysia tetapi juga di dunia.
Peperangan antara Ukraine dan Rusia akan menjejaskan bekalan makanan maka, tiba masanya untuk pemimpin-pemimpin Asean duduk berbincang untuk mengatasi masalah bekalan dalam kalangan negara-negara Asia.
Akibat peperangan yang berlaku, Ukraine sebagai pengeluar 40 peratus gandum kepada dunia tidak dapat mengeluarkan bekalan gandum dan keadaan ini menjejaskan bekalan di pasaran.
“Di Asia, Thailand dan Vietnam mempunyai bekalan beras yang mencukupi dan kita juga mempunyai bekalan ayam mencukupi jadi, kita perlu fikirkan bagaimana untuk lakukan dagangan. Jangan bebankan pengguna serta pengusaha yang ada sebaliknya, cari langkah atasi masalah bekalan makanan ini secara bersama.
“Kerjasama negara Asean bukan hanya wujud bagi menyelesaikan pertelingkahan, peperangan serta masalah sempadan sahaja, sampai ketikanya sebolehnya esok, panggil satu perbincangan di peringkat Asean untuk bincangkan sekuriti makanan di rantau Asia,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Comments