Jumlah projek pembinaan khususnya perumahan dan bangunan komersial sakit serta
terbengkalai menunjukkan peningkatan berdasarkan pemerhatian lapangan, terutama di beberapa negeri.
Malah, masyarakat sendiri boleh mengesan kewujudan projek sakit dan terbengkalai itu berdasarkan keadaan tumbuhan liar meliputi struktur pembinaan dan tiada kesan jelas serta ketara menunjukkan sebarang aktiviti kerja di tapak berkenaan.
Secara data pula, Statistik Projek-Projek Perumahan Swasta dikeluarkan Jabatan Perumahan Negara setakat April lalu, merekodkan 539 projek membabitkan 94,522 rumah boleh dikategorikan sebagai sakit dan terbengkalai, sekali gus melonjak berbanding hanya 328 projek (45,420 rumah) pada April 2019.
Selangor mencatatkan jumlah projek tertinggi, iaitu 119 projek (22,397 rumah), diikuti Johor (75 projek/15,898 rumah) dan Perak (73 projek/9,850 rumah). Walaupun Wilayah Persekutuan mencatatkan hanya 37 projek sakit, ia membabitkan 16,996 rumah, sekali gus kedua tertinggi selepas Selangor dari perspektif bilangan rumah.
Antara puncanya, kesan kenaikan harga bahan binaan, terutama besi dan keluli, selain kesan jangka panjang akibat pandemik COVID-19 walaupun kita sudah dalam fasa peralihan ke endemik.
Selain itu, kekurangan buruh asing dan kurangnya minat buruh tempatan, di samping masalah kewangan dihadapi kontraktor serta pemaju projek pembinaan.
Walau apapun faktornya, keadaan di tapak projek pembinaan sakit dan terbengkalai perlu diberi perhatian. Ancaman bahaya dari segi keselamatan dan kesihatan, terutama kepada penduduk berdekatan dan masyarakat setempat, boleh mendatangkan mudarat yang menunggu masa.
Ancaman biologi
Tapak pembinaan terbiar boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk dan sarang tikus yang mengakibatkan ancaman biologi seperti demam denggi, malaria, penyakit chikungunya dan leptospirosis (kencing tikus).
Tempat itu juga boleh menjadi sarang kepada haiwan liar dan berbahaya seperti ular dan anjing.
Risiko bahaya juga akan meningkat sekiranya tapak pembinaan mudah dimasuki dengan keadaan infrastruktur belum siap boleh membahayakan remaja dan kanak-kanak yang mungkin menceroboh untuk bermain dan menghabiskan masa.
Golongan itu juga boleh berhadapan risiko terjatuh dari tempat tinggi yang tiada hadangan, tersadung kaki, dihempap struktur binaan atau peralatan, bahkan tercucuk objek tajam seperti kayu perancah dan paku terbiar.
Malah, tapak pembinaan terbiar tanpa kawalan boleh mencambahkan anasir tidak sihat
seperti menjadi sarang penagih dadah dan aktiviti tidak bermoral.
Sudah pasti hal sebegini boleh menjejaskan ketenteraman dan keamanan penduduk setempat, selain mengancam pengguna laluan berdekatan kawasan tapak pembinaan terbabit, terutama mereka pulang larut malam.
Apa yang berlaku di negara ini berbeza dengan amalan di Scotland dan beberapa wilayah di Amerika Syarikat (AS) seperti Arizona dan New Jersey umpamanya.
Apabila sesuatu projek perumahan disahkan terbengkalai, pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama polis selain menutup dan mengunci laluan masuk utama ke tapak projek akan menyita tinggalan peralatan dan bahan binaan bagi mengelakkan kes salah guna dan kejadian tidak diingini.
Pemasangan sistem penggera dan kamera litar tertutup juga perlu dibuat bagi mengesan pencerobohan.
Justeru, pihak berwajib khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan serta pemaju projek terkesan perlu memikirkan pendekatan serta mekanisme untuk menangani masalah ancaman keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan terbiar.
Ini termasuk memagar perimeter tapak projek agar tidak mudah dicerobohi, melantik khidmat rondaan dan kawalan serta menyediakan khidmat pembersihan berkala.
Bagaimanapun, langkah penyelesaian segera sudah tentu perlu diambil untuk memulihkan projek bermasalah itu, tetapi pada masa sama, mekanisme baharu perlu diwujudkan untuk memastikan sebarang tapak perumahan sakit atau terbengkalai tidak menimbulkan masalah lain, terutama 'menjangkitkannya' kepada penduduk di persekitaran.
Sumber: Berita Harian
Σχόλια