top of page

Tambah baik, ambil manfaat kelebihan pengangkutan rel


Tambah baik, ambil manfaat kelebihan pengangkutan rel Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Tambah baik, ambil manfaat kelebihan pengangkutan rel

Pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa projek pengangkutan rel seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Ringan Laluan Shah Alam (LRT3) dan Transit Aliran Massa Laluan Lingkaran (MRT3) akan diteruskan oleh kerajaan baharu cukup melegakan.


Selain mewujudkan ribuan puluhan pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia, apabila siap kelak projek pengangkutan rel ini diharap dapat meningkatkan tahap penggunaan pengangkutan awam oleh rakyat kepada 40 peratus menjelang 2030 seperti yang ditetapkan dalam Dasar Pengangkutan Negara.


Kita boleh melihat sendiri keadaan trafik jalan raya di ibu negara semakin sesak akibat peningkatan jumlah kenderaan peribadi. Begitu juga keadaannya dengan lebuh raya utama negara ketika hujung minggu, cuti persekolahan dan perayaan.


Justeru dengan adanya sistem pengangkutan yang baik, kesesakan jalan raya mampu diatasi selain kadar kemalangan turut dijangka menurun. Dari sisi lain pembaziran subsidi bahan api dapat diminimumkan jika pengangkutan awam menjadi pilihan utama rakyat untuk bergerak ke mana-mana destinasi.


Saya berharap supaya rangkaian rel menghubungkan bandar utama di Semenanjung dan Sabah dapat ditambah baik lagi. Selain itu Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura perlu dihidupkan semula. Projek ini membolehkan negeri koridor selatan Semenanjung terutama sekali Melaka yang menjadi tumpuan pelancong dapat dihubungkan menerusi sistem rel yang pantas dan cekap dengan ibu negara.


Projek HSR juga dapat merealisasikan jalur kereta api Pan Asia menghubungkan Singapura dan Kunming, China. Negara jiran kita seperti Indonesia dan Thailand sudah lama memulakan projek HSR masing-masing.


Di Indonesia misalnya, Projek Kereta Cepat Jakarta - Bandung kini sedang menjalani fasa ujian dan sudah ada rancangan oleh Presiden Joko Widodo untuk menyambung jajaran ini sehingga ke Surabaya.


Di Thailand pula, projek HSR Bangkok - Nakhon Ratchasima sejauh 250 kilometer sedang giat dibangunkan dan ada perancangan untuk disambungkan dengan rangkaian kereta api negara China menerusi Laos dalam fasa kedua projek berkenaan.


Galak aktiviti pelancongan

Bagi Malaysia pula perancangan membina sistem HSR sejak tahun 2010 sudah dibuat justeru sepatutnya kita tidak ketinggalan dalam menerima manfaat sistem kereta api termaju ini.


Rangkaian rel yang meluas dalam negara juga dapat menggalakkan aktiviti pelancongan domestik menaiki kereta api. Aktiviti pelancongan menaiki kereta api 'Train to Dabong' mendapat sambutan luar biasa orang ramai termasuk pelancong dari luar negeri Kelantan.


Kehadiran ramai pelawat ke Dabong memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat terutama kepada pemilik inap desa, pemandu pelancong, pengusaha kedai makan dan seniman jalanan. Siapa sangka daerah yang agak terpencil di negeri Kelantan ini mempunyai begitu banyak lokasi pelancongan riadah dan kulinari.


Kejayaan 'Train to Dabong' mungkin boleh diulangi di tempat lain sebagai contoh di bandar peranginan Port Dickson jika kerajaan membaik pulih semula laluan rel Seremban - Port Dickson supaya perkhidmatan komuter terus dari KL Sentral dapat diperkenalkan.


Akhir sekali, rancangan untuk membangunkan landasan baharu kereta api dari Kota Kinabalu ke Kudat serta seterusnya ke Sandakan dan Tawau perlu dipertimbang serius susulan rancangan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.


Pengguna Kereta Api,

Kuala Lumpur


Sumber: Berita Harian


7 views

Comments


bottom of page