Kajang: Fobia setiap kali hujan. Keresahan itu ditanggung puluhan penduduk di Kampung Sungai Jernih di sini, gara-gara penempatan mereka kerap dilanda banjir sejak lima tahun lalu.
Secara purata, dua kali setahun kampung itu akan dilanda banjir dengan kejadian terbaharu pada 17 Jun lalu.
Keadaan itu menyebabkan penduduk tidak senang duduk kerana perlu sentiasa berwaspada dan menanggung kerugian besar akibat kerosakan harta benda yang disebabkan musibah.
Bukan setakat itu, ada dalam kalangan penyewa berpindah kerana tidak sanggup berdepan masalah sama secara berulang dan lebih membimbangkan apabila ada tujuh penduduk warga emas berumur antara 70 hingga 90 dan seorang berusia 81 berstatus orang kurang upaya (OKU).
Seorang daripada penduduk, Masri Khan, 43, yang membesar dan menetap di kampung itu berkata, sejak dahulu banjir berlaku di kampung itu namun ia tidak sekerap ketika ini.
Katanya, dia sendiri tidak pasti apa punca sebenar banjir namun yakin ia ada kaitan dengan masalah sistem perparitan di situ.
"Nak cakap salah siapa pun tidak tahu kerana punca banjir datangnya daripada banyak faktor, dengan setiap satunya membabitkan pihak berlainan.
"Jika tinggal di rumah sewa, sudah lama saya angkat kaki namun terpaksa bertahan kerana menetap di rumah pusaka, malah kami kerap adukan masalah kepada ketua kampung untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa, dan dia pun sudah meninggal dunia.
"Jadi tidak tahu sampai peringkat mana masalah ini sudah dipanjangkan. Kalau bercerita soal kerugian, memang banyak kerana setiap kali banjir, rumah saya akan kena dahulu dan lantai juga sudah retak, manakala dinding kayu juga sudah mereput.
"Kelengkapan (rumah) memang sering bertukar ganti dan satu lagi kesan banjir yang saya tanggung adalah perasaan takut keluar meninggalkan isteri serta anak di rumah, kerana saya bimbang jika tiba-tiba berlaku banjir sewaktu ketiadaan saya," katanya.
Sementara itu, Normah Daud, 68, yang tinggal bersendirian berkata, dia sudah menanggung masalah banjir kilat itu sejak mula menyewa di kawasan itu sejak 13 tahun lalu.
Namun, katanya, keadaan semakin buruk dan antara pengalaman tidak dilupakan ketika bencana pada Julai 2020 apabila air naik semeter dan pada 19 Disember 2021 yang menyebabkan banyak perkakas rumahnya rosak.
"Dulu saya tinggal dengan suami namun mula duduk seorang diri sejak dia (suami) meninggal dunia dua tahun lalu.
"Anak-anak sudah berkeluarga dan menetap di Pulau Pinang, jadi setiap kali hujan memang takut memikirkan kemungkinan rumah akan dinaiki air.
"Saya harap kerajaan dan agensi bertanggungjawab pandang serius hal ini kerana bukan sekali dua terjadi, tetapi berulang kali. Mungkin ada yang tidak kena dengan sistem perparitan atau projek pembangunan pernah dijalankan," katanya.
Seorang lagi penyewa, Aminah Abd Malik, 37, mengakui sudah penat dan tidak sanggup lagi berdepan banjir yang seperti tiada kesudahan.
Ibu tiga anak itu bagaimanapun terpaksa bertahan kerana tidak berkemampuan pindah ke rumah sewa lain memandangkan hanya suaminya sahaja yang bekerja.
"Ketika mula tinggal di sini, saya tidak tahu kampung ini kerap dilanda banjir kerana dulu saya bekerja, jadi tiada masa bercampur dengan penduduk lain.
"Kami tahu masalah ini selepas menempuhinya sendiri dan kejadian terburuk rasai pada Julai 2020," katanya yang mengalami banyak kerugian apabila perkakas rumah rosak dalam banjir itu.
Sumber: Harian Metro
Comments