
KUALA LUMPUR: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menggesa satu perjawatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di sekolah diperkenalkan segera.
Presidennya, Dr Shawaludin Husin, berkata ia usaha penting yang selari dengan keputusan kerajaan untuk membuka semula sesi persekolahan bulan depan.
Katanya, kebimbangan utama MSOSH adalah tekanan pihak berwajib untuk memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dipatuhi dan diutamakan bagi menangani penularan COVID-19.
"Dalam konteks sekolah, pematuhan OSH bukan saja terhad kepada guru tetapi turut terpakai kepada pelajar, kontraktor dan pelawat.
"Mengambil kira bilangan pelajar yang besar dan bebanan kerja guru yang tinggi, maka amat wajar untuk kerajaan melihat kepada cadangan perjawatan khusus OSH di sekolah," katanya, hari ini.
Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pembukaan semula sesi persekolahan secara berperingkat mulai 3 Oktober ini.
Shawaludin berkata, ketika ini orang ramai masih bergelut untuk mengurus dan menyesuaikan diri di dalam persekitaran baharu ketika virus COVID-19 masih menular.
Justeru katanya, pematuhan OSH tidak boleh dibebankan di atas bahu guru dan pengetua yang sibuk dengan tugasan pengajaran dan pembelajaran.
"Pengurusan OSH memerlukan individu yang terlatih khusus dalam bidang berkenaan terutama daripada sudut penilaian risiko, perundangan dan teknikal," katanya.
Beliau berkata, sejak 10 tahun lalu, pelbagai kemalangan direkodkan di sekolah sama ada membabitkan pelajar, guru dan pelawat.
Katanya, trend ini sangat membimbangkan dan MSOSH khuatir ia berulang kerana kualiti pematuhan OSH yang rendah.
Sumber: Berita Harian
Comments