top of page

Syarikat usaha sama Gamuda Australia raih projek RM4.12 bilion



KUALA LUMPUR: Usaha sama membabitkan Ferrovial Construction Australia dan Gamuda Australia (FGJV) berjaya meraih kontrak reka bentuk dan pembinaan bernilai A$1.35 bilion (RM4.12 bilion) daripada kerajaan New South Wales (NSW) bagi menyiapkan pakej kerja utama projek Pintasan Coffs Harbour.


Projek itu akan mengurangkan tempoh perjalanan selama 12 minit di sepanjang Lebuhraya Pasifik dengan memintas 12 set lampu isyarat.


Dalam satu kenyataan, FGJV berkata, projek itu dibiayai oleh kerajaan Australia dan NSW bagi meningkatkan aspek keselamatan selain memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selesa.


"Kami berasa gembira kerana dapat bekerjasama dengan kerajaan Australia dan NSW serta menyiapkan bahagian akhir program menaiktaraf Lebuhraya Pasifik di Pantai Utara Tengah.


"Sudah pasti, kami akan mempraktikkan pengalaman bersama dalam menyiapkan projek-projek lebuh raya di Australia dan antarabangsa bagi memaksimumkan manfaat untuk semua pengguna jalan raya terbabit dan Coffs Harbour serta komuniti sekitarnya," kata Pengarah Urusan Ferrovial Construction Australia, Enrique Blanco.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Gamuda Australia, Ewan Yee berkata usaha sama itu menumpukan gabungan kejuruteraan pintar, inovasi alam sekitar dan kemampanan bagi memastikan legasi positif itu melangkaui aspek pembinaan.


"Langkah bekerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan bagi menghormati tradisi masyarakat Gumbaynggir dan melindungi persekitaran semula jadi yang unik, akan terus menjadi teras dalam menjayakan projek terbabit," katanya.


Skop projek itu merangkumi lebuh raya empat lorong baharu dan yang dinaiktaraf sejauh 14 kilometer dari selatan bulatan Englands Road ke lebuh raya di Sapphire; pintasan Coffs Harbour City dari selatan persimpangan Englands Road ke Korora Hill dan terowong melalui Roberts Hill, Shephards Lane dan Gatelys Road.


Sumber: Berita Harian

43 views

Comentários


bottom of page