top of page

Syarikat perkakasan milik Bumiputera amat rendah - CIDB



KUCHING: Syarikat kontraktor mempunyai perniagaan kukuh perlu membuka rangkaian perniagaan perkakasan sebagai langkah mempertingkatkan pembabitan Bumiputera dalam segmen niaga berkenaan.


Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, berkata sehingga kini, pembabitan syarikat Bumiputera dalam segmen perniagaan itu kekal pada tahap amat rendah.


“Mereka boleh membuka rangkaian perniagaan hardware (perkakasan) di seluruh negara, yang secara langsung boleh membantu kontraktor Bumiputera baharu mendapatkan bahan dan barang keperluan di tapak pembinaan secara mudah.


“Kontraktor Bumiputera juga perlu memperluaskan pembabitan mereka dalam Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang kini semakin mendapat perhatian dalam industri pembinaan,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.


Ir Ahmad ‘Asri berkata, peluang mengeluarkan bahan binaan IBS juga perlu diambil perhatian didorong keberkesanannya membangunkan prasarana secara lebih cekap.


Tegasnya, syarikat Bumiputera juga tidak boleh terlalu bergantung kepada tender kerajaan semata-mata kerana wujud banyak lagi peluang perniagaan di sektor swasta dan kontrak di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


Mengulas lanjut, beliau berkata CIDB menawarkan program pembangunan usahawan, Contractor4U, yang fokus kepada kontraktor G1 dan G2.


“CIDB yang menjadi penyedia perkhidmatan terus kepada pelanggan (pemilik premis kediaman dan perniagaan) melalui aplikasi telefon. Antara syarat utama penyertaan program ini adalah kontraktor berkenaan perlu mempunyai Sijil Kecekapan Kemahiran diiktiraf CIDB,” katanya.


Katanya, sebagai permulaan, Contractor4U sehingga kini menawarkan tujuh jenis perkhidmatan merangkumi Kerja Pendingin Hawa (M01), Kerja Perpaipan Dalam Bangunan (B10), Kerja Elektrik (E04), Kerja Jubin (B13), Kerja Cat (B14), Kerja Ubahsuai Bangunan (B28) dan Kerja Landskap (B09).



61 views
bottom of page