top of page

Sokongan PETRONAS perkasa Actual Builder ke tahap tinggi Kandungan Berjenama


Sokongan PETRONAS perkasa Actual Builder ke tahap tinggi Kandungan Berjenama Berita Harian www.bharian.com.my
Actual Builder kini bukan sahaja terbabit secara langsung dalam bidang kerja seni bina, malah turut terbabit dalam sektor kejuruteraan sivil beraras tinggi.

ACTUAL Builder Sdn Bhd, adalah syarikat anak tempatan Johor yang membangunkan pelbagai projek Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE), termasuk di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).


Pengarah Actual Builder, Mohd Jefri Alias, berkata syarikat itu ditubuhkan sejak 15 tahun lalu dengan kepakaran dalam bidang kerja seni bina infrastruktur bagi industri minyak dan gas.


Katanya, syarikat berkenaan mempunyai 70 kakitangan tetap dan jumlah pekerja sokongan akan meningkat kepada 200 orang mengikut skala projek yang diberikan.


Syarikat juga mempunyai cawangan pejabat di Teluk Ramunia, Kota Tinggi selain beberapa bengkel besi dan kayu di Pasir Gudang.


Mohd Jefri berkata, perniagaan teras syarikat itu membabitkan seni bina infrastruktur industri minyak dan gas, paip, pemasangan mekanikal dan pembaikan infrastruktur marin yang berpusat di Masai, Johor Bahru.


"Actual Builder diberi peluang bekerjasama dengan PETRONAS sebagai vendor mulai dari 2005 apabila diberikan projek binaan untuk membangunkan pelantar tempat tinggal pekerja di PIC.


Sokongan berterusan pihak kerajaan Johor serta PETRONAS terhadap syarikat Bumiputera tempatan berjaya meningkatkan kemampuan dan kebolehan syarikat tempatan ke tahap lebih tinggi.


Tingkat kemahiran pekerja

Katanya, ini termasuk membantu pekerja meningkatkan kemahiran mereka dari setiap segi melalui kursus latihan diberikan bagi memastikan projek berskala tinggi dapat disempurnakan mengikut jadual yang ditetapkan.


"Hasil sokongan itu, Actual Builder kini bukan sahaja terbabit secara langsung dalam bidang kerja seni bina, malah turut terbabit dalam sektor kejuruteraan sivil beraras tinggi.


Mengenai Pelan Hala Tuju OGSE Kebangsaan yang dilancarkan oleh kerajaan melalui agensi Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) April tahun lalu, dapat membantu vendor Bumiputera yang terbabit dalam sektor itu, Mohd Jefri berkata, pelan berkenaan penting sebagai panduan vendor industri minyak dan gas negara meningkatkan keupayaan syarikat supaya lebih berdaya saing.


"Inisiatif yang digariskan dalam pelan itu akan membantu kami menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pertukaran idea yang secara langsung akan meningkatkan mutu pembangunan dan menjana percambahan produktiviti.


"Malah, pelan itu juga akan membantu meningkatkan kewangan syarikat OGSE tempatan bagi menjalankan aktiviti pembangunan teknologi," katanya.


Dalam pada itu, Mohd Jefri berharap vendor tempatan terus menerima sokongan berterusan daripada pemain utama sektor OGSE serta pihak kerajaan Johor dan agensi agensi kerajaan untuk memberi lebih peluang kepada mereka menyertai perniagaan baharu pada masa hadapan.


Sokongan berterusan daripada PETRONAS dan kerajaan negeri beri jaminan syarikat terus berdaya saing.


Katanya, ia penting bagi membolehkan daya tahan syarikat tempatan terus kekal dalam industri dan tidak tersekat di tengah jalan.


"Lebih banyak peluang diberikan kepada vendor tempatan akan memastikan jangka hayat kami diteruskan, sekali gus memberi peluang sama rata kepada syarikat baharu meneroka potensi mereka.


"Ia juga tentunya akan melonjakkan kemajuan sektor OGSE negara selain memberi manfaat kepada masyarakat, terutama penduduk tempatan bagi menambah baik taraf kehidupan serta meningkatkan peluang pekerjaan," katanya.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page