Sistem perparitan tidak sempurna punca banjir


Gambar hiasan. Sumber: The Star

Shah Alam: Sistem perparitan yang tidak sempurna di samping kedudukan tanah yang rendah berbanding kawasan sekitarnya merupakan antara punca kawasan Meru, Klang, terutamanya di Jalan Teratai kerap dinaiki air apabila hujan lebat.


Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Datuk Gapar Asan berkata, berikutan kedudukannya yang lebih rendah, ia menyebabkan air dari kawasan yang lebih tinggi mengalir turun ke kawasan berkenaan dan menyebabkan kampung serta beberapa kawasan perumahan di situ dilanda banjir.


"Hal ini ditambah dengan sistem perparitan yang tidak terancang dan tidak seragam dari segi saiz dan bahan binaan menyebabkan banjir berlaku dan sukar untuk mengalir keluar.


"Sistem perparitan di kawasan berkenaan tidak terancang kerana kawasan itu masih dalam pembangunan sejak berpuluh tahun lalu, masih terdapat plot-plot tanah yang belum dimajukan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penderitaan penduduk di sekitar kawasan berkenaan yang terpaksa berhadapan dengan masalah banjir kira-kira 15 kali setahun sejak 2015.


Walaupun begitu, kata Gapar, pihaknya mempunyai perancangan untuk mengatasi masalah berkenaan dan sudah melakukan beberapa langkah bagi mengatasinya.


Tambahnya, antara usaha yang sedang dilakukan JPS Selangor adalah menaik taraf Sungai Kapar Kecil dengan memasang tiga pam berkapasiti tinggi di pintu air sungai berkenaan bagi mengepam air keluar ke laut, dan ia dijangka siap serta boleh digunakan pada penghujung tahun ini.


"JPS Selangor juga sudah menyiapkan laporan mengenai Projek Tambatan Banjir Sungai Kapar Besar dan Kecil. Kini sedang menunggu kelulusan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.


"Projek ini membabitkan kolam takungan banjir di hulu kawasan banjir di Fairy Park berhampiran Jalan Teratai serta menaik taraf sistem perparitan di kawasan berkenaan, ia membabitkan kos RM190 juta dan kini dalam pertimbangan Kerajaan Pusat untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12," katanya.


Pada Sabtu lalu, Bernama melaporkan penduduk di beberapa taman perumahan dan kampung di sekitar Meru, Klang dekat sini memohon supaya jalan penyelesaian dicari bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.


Sumber: Harian Metro

7 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.