top of page

Sistem parit lemah burukkan lagi situasi banjir Pantai Timur


Sistem parit lemah burukkan lagi situasi banjir Pantai Timur Kosmo www.kosmo.com.my
SISTEM perparitan lemah dikatakan punca banjir buruk di Pantai Timur termasuk Terengganu baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU – Banjir buruk yang berlaku di Pantai Timur termasuk Terengganu baru-baru ini bukanlah disebabkan faktor hujan ekstrem semata-mata sebaliknya kerana kelemahan sistem perparitan dan saliran.


Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Hafizan Juahir berkata, sistem perparitan dan saliran sedia ada didapati tidak mengikut spesifikasi bagi pembangunan di sesuatu kawasan perumahan.


Beliau berkata, sistem perpa­ritan ketika ini tidak membentuk satu rangkaian yang berkesinambungan antara satu sama lain sekali gus membawa aliran air keluar ke sungai utama dan seterusnya ke laut.


“Sistem parit dan longkang yang dibina hanya di sekeliling rumah atau kawasan perumahan sahaja dan ia tidak bersambung dengan parit besar yang akan membawa air memasuki sistem sungai.


“Keadaan ini berlaku akibat dari pembangunan yang tidak terancang. Contohnya, projek perumahan di atas tanah persendirian dibangunkan tanpa mematuhi spesifikasi sistem perparitan,” katanya ketika dihu­bungi Kosmo! semalam.


Banjir buruk di Terengganu baru-baru ini berlaku serentak di kesemua lapan daerah dengan kemuncaknya lebih 41,000 mang­sa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS)

EvolusiBina-evolusi-bina-sistem-parit-lemah-burukkan-lagi-situasi-banjir-pantai-timur Kosmo www.kosmo.com.my
KEADAAN banjir di Terengganu diparahkan lagi dengan keadaan sistem perparitan yang lemah. – GAMBAR HIASAN

Hafizan menegaskan pemba­ngunan tidak terancang adalah faktor utama banjir buruk yang berlaku baru-baru ini.


Jelas beliau, daerah Kuala Nerus misalnya mengalami pembangunan yang agak drastik semenjak enam tahun kebelaka­ngan ini.


“Pembangunan Bandar Baharu Kuala Nerus, pembinaan Hospital Pengajar UniSZA serta pertambahan bilangan pelajar dan kakitangan di dua institusi pengajian tinggi di daerah itu secara tidak langsung melonjakkan permintaan rumah kediaman.


“Kawasan perumahan baharu dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Dari sudut ekonomi, ia amat positif tetapi pembangunan berlaku tidak seimbang tanpa sistem perparitan sempurna,” katanya.


Tegas Hafizan, pihak berkuasa tempatan (PBT) harus dipersalahkan kerana kelemahan pemantauan tersebut.


Beliau berkata, masalah itu harus diatasi secara bersepadu antara Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan PBT.


“Selagi sistem perparitan tidak selaras dengan pembangunan pesat, masalah banjir di Pantai Timur khususnya Terengganu tidak selesai malah berisiko lebih kronik pada masa mendatang,” tegasnya.


Sumber: Kosmo!


3 views

Comments


bottom of page