KUALA LUMPUR: Singapura akan meneruskan usaha dalam memuktamadkan perbincangan dengan Malaysia mengenai projek infrastruktur Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HSR KL-SG) pada 31 Disember ini.
Kementerian Pengangkutan Singapura (MOT) berkata, kerajaan negara itu percaya projek HSR KL-SG akan memberi manfaat kepada kedua negara dan tetap komited dalam memenuhi peranannya di bawah Perjanjian Dua Hala (Bilateral) HSR.
"Namun, jika pada 31 Disember 2020, Malaysia tidak meneruskan projek HSR, berdasarkan perjanjian, Malaysia akan menanggung kos yang dipersetujui oleh Singapura dalam memenuhi Perjanjian Dua Hala HSR," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MOT Singapura berkata, kerajaannya dan Malaysia menandatangani Perjanjian Dua Hala HSR pada Disember 2016 dan ia adalah perjanjian antarabangsa yang sah dan masih berkuatkuasa sehingga hari ini.
Pembinaan projek HSR katanya telah ditangguhkan dua kali atas permintaan Malaysia dan sepanjang itu, Malaysia telah mencadangkan beberapa perubahan pada projek HSR.
Singapura katanya sentiasa terbuka dengan perbincangan mengenai perkara itu dengan Malaysia.
Pada akhir Mei lalu, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Malaysia dan Singapura sudah bersetuju menyambung semula perbincangan mengenai projek infrastruktur kereta api laju KL-Singapura dan ia membabitkan beberapa cadangan perubahan dalam aspek komersial dan teknikal.
Keputusan itu dicapai setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan keputusan mengenai projek berkenaan sehingga 31 Disember 2020.
Sumber: Berita Harian
Comments