top of page

SHE resepi kejayaan MMC Gamuda


SHE resepi kejayaan MMC Gamuda Berita Harian www.bharian.com.my
Pengarah DOSH, Kementerian Sumber Manusia, Mohd Anuar Embi (tengah) bersama wakil MMC Gamuda, Adil Putra (empat dari kanan); Timbalan Pengarah Projek Amir Malik (tiga dari kanan) dan Sirajunnisa (kanan).

KUALA LUMPUR: Komitmen tinggi terhadap pematuhan piawaian Keselamatan, Kesihatan & Alam Sekitar (SHE) menjadi asas kejayaan setiap projek pembinaan.


Demikian kenyataan, Pengarah Projek MMC Gamuda, Adil Putra Ahmad, pada majlis makan malam anugerah untuk mengiktiraf tahap tertinggi piawaian SHE yang diamal dan dipromosikan oleh MMC Gamuda yang berlangsung, baru-baru ini.


Menurut beliau, penubuhan pasukan SHE bagi projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya bukan tugas mudah, tetapi akhirnya mendatangkan pulangan nilai yang berkali ganda sepanjang hayat projek itu.


MMC Gamuda kini mengakhiri tahun gemilang apabila meraih anugerah keselamatan antarabangsa, iaitu British Safety Council Sword of Honour dan Taiwan Golden Safety Award, dengan memenangi dua lagi anugerah SHE penting pada peringkat tempatan.


Syarikat itu menerima penghormatan tertinggi Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (OSH) 2020/2021 dalam Kategori Pembinaan anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), serta menerima penarafan 5-bintang untuk Reka Bentuk & Pembinaan dalam pensijilan Sustainable Infrastar dilaksanakan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).


Pengiktirafan ini bukan sahaja mengesahkan kedudukan MMC Gamuda sebagai peneraju pasaran dalam industri pembinaan tempatan membabitkan piawaian SHE, tetapi juga adalah bukti pendekatan menyeluruh dalam aspek keselamatan yang diterapkan pada setiap peringkat struktur organisasinya.


Anugerah OSH Kebangsaan dan penarafan Infrastar Lestari 5-bintang diraih hasil proses audit intensif yang dilaksanakan DOSH dan CIDB.


Anugerah OSH Kebangsaan khususnya, juga memerlukan pembentangan menyeluruh dibuat kepada pihak berkuasa berikutan kejayaan audit bagi menjelaskan dan mengembangkan lagi inisiatif keselamatan yang dilaksanakan oleh pemohon.


Promosi kepemimpinan OSH

Ketua SHE bagi MMC Gamuda, Sirajunnisa K G Mohamed Farook, berkata syarikat meletakkan dasar OSH yang jelas merangkumi setiap aspek kerja yang dilaksanakannya.


"Ini menunjukkan komitmen pengurusan kanan kami memacu syarikat ke hadapan dan mempromosikan kepemimpinan OSH kepada semua kakitangan kami.


"Susulan ini, berpegang kepada piawaian dan garis panduan OSH secara semula jadi sudah menjadi kebiasaan kepada pasukan kami.


"MMC Gamuda menggunakan sistem pengurusan berstruktur untuk melaksanakan strategi OSH dan secara aktif meningkatkan kesedaran serta pelaksanaan oleh tenaga kerja kami.


"Untuk mencapai matlamat strategik OSH, kami sudah melaksanakan latihan yang berkaitan di Pusat Latihan KVMRT sendiri, serta menepati pensijilan keselamatan pembinaan tempatan menerusi Skim Persijilan Kemahiran Pembinaan (CSCS - skim pensijilan kemahiran terkemuka United Kingdom untuk pembinaan).


"Ini ditambah baik lagi dengan memupuk kewaspadaan semasa bekerja dan penyeliaan ketat seterusnya menghasilkan keputusan yang ketara dari segi pencapaian prestasi SHE," katanya.


Sementara itu, Adil dalam ucapan penutupnya berkata, dari peringkat awal projek MRT Laluan Kajang lagi, MMC Gamuda menetapkan matlamatnya untuk meningkatkan standard keselamatan bukan sahaja dalam projek yang dilaksanakan, tetapi untuk memberi inspirasi kepada perubahan dalam industri itu.


"Kemenangan anugerah ini menjadi satu pengiktirafan terhadap usaha kami untuk memimpin industri melalui teladan dan memajukan piawaian keselamatan seiring dengan kemajuannya saban tahun.


"Dunia kini berubah dengan piawaian baharu sering dipromosikan. Dalam industri pembinaan khususnya, ada penekanan yang lebih besar untuk mengutamakan aspek SHE serta kelestarian.


"Dengan mendahulukan prinsip ini dalam apa jua kerja, daya saing global kami dapat ditambah baik, manakala kejayaan projek akan dipastikan," katanya.


Sumber: Berita Harian


6 views

Comments


bottom of page