Semua MRSM akan dipasang panel tenaga solar
- Jul 28, 2022
- 2 min read

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai pemasangan panel tenaga solar di bumbung semua 55 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara.
Menteri Pembanguan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program itu bertujuan menggalakkan penggunaan tenaga lestari di MRSM yang dijangka dilancarkan dalam masa dua bulan lagi.
Katanya, kementerian itu komited menyokong dasar kerajaan untuk memastikan negara mencapai status karbon sifar menjelang 2050 menerusi beberapa program oleh agensi di bawahnya.
"Tahun ini lebih RM200 juta diperuntukkan untuk pembangunan tenaga solar luar bandar di bawah program tersebut," katanya kepada media selepas merasmikan Forum Tenaga Lestari - Mencapai Neutral Karbon Menjelang 2050 di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) di Gombak, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr Roziah Omar.
Beliau berkata, bagi kawasan luar bandar, kementerian itu melaksanakan program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) terutamanya di pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
"Sekarang bekalan elektrik berasaskan tenaga solar sudah digunakan di pulau-pulau di daerah Beluran (Sabah)," katanya.
Mahdzir berkata, UniKL sebuah institusi di bawah MARA pula memberi fokus menyediakan modal insan dalam tenaga lestari menerusi program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Elektrikal (Tenaga Lestari).
Beliau berkata, seramai 1,000 graduan dalam bidang tersebut dijangka dihasilkan menjelang 2030.
Pada majlis yang sama beliau turut melancarkan projek pembinaan makmal tenaga lestari UniKL dengan kos pembinaan RM12.5 juta yang akan menjadi bangunan pertama di Malaysia berstatus hampir sifar karbon.
Katanya, bangunan akademik tiga tingkat itu akan digunakan pelajar program Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Elektrikal (Tenaga Lestari).
"Reka bentuk bangunan tersebut membantu pengurangan pelepasan karbon ke udara selaras dengan usaha kerajaan untuk mengadaptasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) di Malaysia," katanya.
Sumber: Berita Harian





Comments