top of page

Selangor peruntuk dana hampir 100 juta baiki, lebar jalan


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari
Selangor memperuntukkan RM50 juta bagi projek turapan jalan raya pada tahun ini bermula dalam masa terdekat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM - Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor menetapkan beberapa perkara terkini termasuk memperuntukkan RM50 juta bagi projek turapan jalan raya pada tahun ini bermula dalam masa terdekat.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan usaha itu melibatkan penyelenggaraan serta pelebaran jalan di bawah kelolaan negeri akan dipengerusikan Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim.


Menurutnya, laporan bencana tanah runtuh Batang Kali juga telah dibentangkan kepada MMKN dan kerajaan negeri bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM21.1 juta bagi pembaikan cerun hasil cadangan daripada Jabatan Kerja Raya.


"Garis panduan berhubung aktiviti perniagaan serta tapak perkhemahan akan diusahakan bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan keselamatan warga Selangor yang menjalankan aktiviti-aktiviti ini.


"Berhubung kejadian tanah runtuh di Bukit Permai Fasa 2 di Ampang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya telah mengeluarkan notis kepada penduduk 15 buah rumah supaya dikosongkan kerana kawasan tersebut tidak selamat untuk diduduki akibat pergerakan tanah.


"Sehubungan itu, kerja-kerja pengukuhan tebing sedang dilaksanakan sementara menanti laporan penuh analisa daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat disiapkan," katanya dalam kenyataan berhubung ketetapan terkini diputuskan MMKN.


Selain itu, Amirudin berkata, komitmen kerajaan negeri untuk membaik pulih, menyelenggara serta menaik taraf fasiliti kemudahan awam di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diteruskan menerusi projek Selangor Penyayang Fasa 2 dengan peruntukan RM500,000 bagi setiap DUN bermula akhir Februari ini.


"Peruntukan ini juga melibatkan pembinaan satu Kompleks Komuniti Selangor Penyayang di setiap DUN," jelasnya.


Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga telah menerima maklum balas daripada warga emas yang memohon bantuan Baucar Jom Shopping Perayaan, sempena tiga perayaan utama tahun ini iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, serta Deepavali.


Sehubungan dengan itu, Amirudin berkata, kadar baucar dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 setiap keluarga, manakala had pendapatan bulanan isi rumah ditingkatkan daripada RM2, 000 kepada RM3, 000 sebulan.


"Penerima Program Skim Mesra Usia Emas turut layak memohon untuk baucar ini memandangkan kos sara hidup yang agak menekan pada ketika ini.


"Secara keseluruhan, kerajaan negeri menganggarkan 82, 400 penerima bagi program ini yang akan diperuntukkan sebanyak RM16.8 juta," kata beliau.


Tambah Menteri Besar, bantuan serta usaha-usaha penambahbaikan diharapkan akan meringankan beban hidup rakyat dan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan sejajar dengan tekad kerajaan negeri agar tiada sesiapa yang keciciran.


Sumber: Sinar Harian


2 views

Comments


bottom of page