Segerakan projek lebar Sungai Tebrau elak banjir berulang


Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Penduduk di Mukim Kangkar Tebrau di sini yang terjejas teruk akibat banjir memohon kerajaan menyegerakan projek melebar dan mendalamkan Sungai Tebrau bagi memastikan bencana itu tidak berulang pada masa hadapan.


Ketua Mukim Kangkar Tebrau, Jawahir Ali berkata, memang terdapat perancangan untuk mendalam dan melebarkan sungai itu sebelum ini.


Jelasnya, kali terakhir perkara itu dibincangkan adalah pada tahun 2019 namun ianya belum dapat dilaksanakan.


“Kali terakhir sungai tersebut didalamkan ialah lapan tahun lalu. Itu pun hanya melibatkan kerja mengorek dan mengeluarkan pasir dari dasar sungai.


“Kami percaya jika projek ini dapat dilaksanakan, ia akan menyelesaikan masalah banjir yang berlaku. Ini kerana masalah banjir di sini berpunca daripada limpahan air sungai,” katanya kepada pemberita ketika meninjau kawasan sungai itu di Kampung Pasir Tebrau, di sini hari ini.


Tambahnya, limpahan air sungai itu turut menjejaskan kawasan tebing dan jalan raya yang merupakan laluan penduduk kampung dan kawasan perumahan.


Mukim Kangkar Tebrau menempatkan seramai lebih 20,000 penduduk di sembilan perkampungan, namun tiga kampung yang sering terjejas banjir akibat limpahan sungai ialah Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Kangkar Tebrau.


Tambahnya, dalam insiden banjir dua hari lalu, seramai 296 mangsa daripada 76 keluarga telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara kerana air sungai memasuki rumah mereka.


“Sehubungan itu, sudah tiba masanya projek ini disegerakan selain kerja penyelengaraan dibuat melibatkan rekahan yang berlaku di kawasan tebing sungai,” ujarnya.


Sementara itu, seorang ahli perniagaan yang menjalankan ternakan kambing di kawasan Kangkar Tebrau, Osman Cheya Kutty, 51, turut berharap projek berkenaan akan merangkumi keseluruhan jajaran Sungai Tebrau, bermula dari ulu sungai di Kulai sehinggalah ke kawasan muara di Johor Bahru.


“Jika projek ini hanya tertumpu di Kangkar Tebrau sahaja, masalah banjir ini tidak akan dapat diatasi sepenuhnya kerana punca air bermula daripada ulu sungai,” ujarnya.


Turut berkongsi pendapat sama, seorang penduduk Kampung Paya Kenangan, Afiq Suhaimi, 25, turut berharap kerajaan mempertimbangkan pembinaan tembok penghadang konkrit di tebing sungai itu bagi menghalang limpahan air berlaku.


“Cadangan melebar dan mendalamkan sungai itu bagus tapi adalah lebih baik jika tembok penghadang dibina terlebih dahulu sebagai langkah jangka pendek untuk mengelakkan kejadian sama berlaku.


“Penduduk sudah jemu berhadapan dengan banjir yang berlaku setiap kali hujan lebat,” katanya ketika ditemui semasa sedang membersihkan perabot rumah yang ditenggelami air banjir.


Sementara itu, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang dihubungi mengesahkan mereka maklum dengan perancangan itu namun tidak mempunyai maklumat terperinci mengenainya.


Sumber: Utusan Malaysia

3 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.