
KANOWIT: Bekalan air bersih akan dapat disalurkan kepada penduduk rumah panjang di kawasan Sungai Mapai tidak lama lagi.
Perkara ini dimaklumkan oleh Adun Ngemah Anyi Jana ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Chuwie Nyerapong di Ulu Sungai Mapai dekat sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, loji air yang menghubungkan bekalan air bersih ke kawasan perumahan Sibu Jaya dan rumah panjang di sepanjang Jalan Nibong-Tada akan beroperasi hujung tahun ini.
“Menurut maklumat yang saya terima daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), kemungkinan besar loji air untuk menghubungkan bekalan air bersih ke kawasan perumahan Sibu Jaya dan perumahan sepanjang Jalan Nibong-Tada akan beroperasi hujung tahun ini.
“Dengan siapnya loji itu, ia akan membolehkan air disalurkan terus ke kawasan rumah panjang ini dan kawasan terdekat,” tegasnya. Dalam perkara lain, Anyi turut mendedahkanprojekjalan raya menuju ke Rumah Chuwie ini dalam status projek sakit disebabkan masalah kontraktor. Rentetan itu, beliau akan menggesa pihak berkenaan untuk memastikan projek tersebut dapat berjalan dengan segera demi keselesaan rakyat.
Sementara itu, beliau turut menerangkan satu peruntukan khas di bawah Parti Rakyat Sarawak (PRS) ditubuhkan untuk anak-anak ahli parti yang ingin menyambung pelajaran dalam bidang teknikal. “Permohonan boleh dibuat di pejabat pusat khidmat saya dengan mengemukakan salinan surat tawaran sekolah/institusi dan salinan kad ahli PRS,” kata beliau.
Di samping itu, Anyi menasihati semua masyarakat agar terus taat dan setia kepada PRS yang di bawah Gabungan Parti Sarawak. Penghulu Ugap Seribu, Kaunselor Seliman Nyandang, Kaunselor Cliff Unting dan Tua Rumah Chuwie turut hadir.
Sumber: Sarawak Voice
Comments