KUALA LUMPUR: Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) melalui anak syarikat milik penuhnya SCIB Properties Sdn Bhd (SCIB Properties) memperoleh kontrak bernilai RM120 juta bagi membina dan menyiapkan 632 unit Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PRIMA) di Kota Bharu, Kelantan.
SCIB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kumpulan sudah menerima Surat Anugerah (LOA) bagi kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) projek rumah mampu milik itu pada 12 Mei yang lalu daripada AUEI Teras Holdings Sdn Bhd.
Katanya, LOA bagi EPCC itu adalah bagi membina dan menyiapkan Fasa 1 projek PRIMA yang dikenali sebagai Residensi PRIMA @ Kubang Kerian bermula dari Jun 2021 sehingga Ogos 2023.
Perjanjian formal untuk kontrak itu katanya akan dilaksanakan pada waktunya.
Kontrak yang dijamin itu juga katanya tidak akan memberi kesan terhadap modal saham yang diterbitkan dan pegangan saham pemegang saham utama kumpulan.
"Kontrak ini juga dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap aset bersih SCIB dan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.
"Sebarang keuntungan disebabkan oleh kumpulan akan direalisasikan secara berperingkat selama jangka masa kontrak berdasarkan kepada kemajuan projek.
"Ia dijangka dapat memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan SCIB sepanjang tempoh kontrak," katanya.
Mengenai faktor risiko pula, SCIB berkata, seperti kontrak lain, ia juga berdepan risiko pembinaan biasa seperti kenaikan kos disebabkan oleh kenaikan kos bahan mentah, ketersediaan tenaga kerja mahir, bahan mentah dan terma kontrak serta risiko prestasi tukaran mata wang asing.
"Walaubagaimanapun, SCIB akan melaksanakan langkah kawalan dan prosedur operasi untuk mengurangkan risiko," katanya.
Residensi PRIMA @ Kubang Kerian bakal mempunyai dua blok pangsapuri 21 tingkat dengan 632 unit serta kemudahan lain seperti dewan serbaguna, surau dan bangunan tempat letak kereta.
Sumber: Berita Harian
Comments