
KUCHING: Sarawak merancang untuk meletakkan sistem pengurusan bekalan air di negeri ini di bawah satu entiti, berbanding tiga pihak berasingan ketika ini.
Menteri Utiliti negeri, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, berkata usul berkenaan sepatutnya dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, namun terpaksa ditangguhkan berikutan hal tertentu.
Beliau berkata, ketika ini kerajaan negeri masih membuat penelitian berhubung rancangan itu yang dijangka dibentangkan pada persidangan DUN akan datang yang dijadual diadakan pada Mei tahun depan.
"Sekarang bekalan air di Sarawak diuruskan Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU).
"Sudah sampai masanya kita meletakkan sistem pengurusan air ini di bawah satu entiti bagi memastikan ia lebih teratur," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air di Matang dan Batu Kitang di sini, hari ini.
LAK bertanggungjawab terhadap pengurusan air di kawasan selatan negeri ini merangkumi Kuching, Serian dan Kota Samarahan, manakala SWB di kawasan tengah Sarawak, iaitu Sibu, Sarikei dan Mukah serta LAKU (Miri, Bintulu dan Limbang).
Mengulas lanjut, Dr Rundi berkata, pihaknya akan mengambil model pengurusan berpusat dilaksanakan Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam pengurusan bekalan elektrik untuk membentuk satu entiti sistem pengurusan bekalan air itu.
Beliau berkata, sebuah lagi loji rawatan air (LRA) akan dibina di Landeh bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran air di Kuching.
Katanya, projek bernilai RM900 juta itu dijangka dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
"Selain membina sebuah loji baru di Landeh itu, LAK juga akan menaik taraf dua loji rawatan sedia ada di Batu Kitang dengan keseluruhan kos untuk tiga projek itu adalah RM1.2 bilion," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments