KUALA LUMPUR: Syarikat konsortium, Samsung-KP JV telah mendapat kontrak bernilai RM1.45 bilion untuk pelaksanaan dan penyiapan pembinaan kilang TIEM2 Bump/ Probe/ AT di Zon Perdagangan Bebas Batu Berendam, Melaka daripada Texas Instruments Electronics Malaysia Sdn Bhd (Texas Instruments).
Samsung-KP JV adalah syarikat usaha sama nisbah kepentingan 70:30 tidak diperbadankan yang terdiri daripada Samsung C&T (KL) Sdn Bhd (70 peratus), anak syarikat milik penuh Samsung C&T Corporation dan unit milik penuh Kerjaya Prospek Group Bhd, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd (KPM) (30 peratus).
Samsung C&T Corporation merupakan syarikat pembinaan dan kejuruteraan Korea Selatan yang disenaraikan di Bursa Korea (KRX).
"Penerimaan kontrak itu adalah bagi urusan perniagaan biasa KPM, ia dilaksanakan berdasarkan terma komersial biasa yang tidak lebih menguntungkan daripada terma yang tersedia untuk umum.
"Selain itu, kontrak itu dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," kata Kerjaya Prospek dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Projek itu akan bermula pada 21 November dan dijadualkan siap dalam tempoh 28 bulan dari tarikh projek berkenaan bermula.
Kerjaya Prospek berkata kontrak itu tidak akan memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan untuk tahun kewangan 2022 hingga 2025.
Sumber: Berita Harian
Comments