top of page

Sambut baik pelabuhan baharu di Yan


Perairan Yan, Kedah diisytiharkan sebagai Pelabuhan Persekutuan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) pada 10 Mei lalu. Gambar kiri: Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah mengalu-alukan pembangunan pelabuhan baharu di Yan selepas kerajaan Persekutuan mewartakan daerah tersebut sebagai Pelabuhan Persekutuan pada 10 Mei lalu.


Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau difahamkan pembinaan pelabuhan itu akan dibangunkan oleh sebuah syarikat milik tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.


Menurut beliau, pembangunan pelabuhan tersebut sudah lama dirancang sejak berapa tahun lalu dan sebahagian besar cadangan pembinaan melibatkan tanah di bawah pentadbiran kerajaan negeri.


"Terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana mewartakan daerah Yan sebagai Pelabuhan Persekutuan. Apabila ada pelabuhan, pastinya akan memberikan limpahan di darat dan sebelum pembinaannya, bahagian darat perlu dibangunkan terlebih dahulu.


"Kami meminta Exco Pengangkutan Kedah, Azman Nasrudin untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bagi memperincikan maklumat dan rancangan berkaitan pembangunan pelabuhan ini," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.


Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas pengumuman Perairan Yan, Kedah diisytiharkan sebagai Pelabuhan Persekutuan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) pada 10 Mei lalu.


Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perisytiharan itu dibuat di bawah Seksyen 5, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) selaku agensi yang bertanggungjawab berhasrat melakukan aktiviti perkapalan dan pembangunan di pesisiran Pulau Bunting yang terletak di perairan Yan.


Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, antara fokus yang akan diberikan perhatian semasa perbincangan dengan MOT adalah mencadangkan penubuhan pihak berkuasa yang akan menguruskan Pelabuhan Yan pada masa akan datang.


Menurut beliau, semua pelabuhan di bahagian utara semenanjung kini diuruskan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) termasuk Pelabuhan Teluk Ewa, Langkawi serta pelabuhan kecil yang lain di Kedah.


"Pihak kami mengharapkan ada pihak berkuasa pelabuhan sendiri selepas ini walaupun berada di bawah Pusat, tetap akan mempunyai bahagian dalam kutipan hasil pelabuhan maka kita hendak mewujudkan Lembaga Pelabuhan Kedah," katanya.


Sumber: Sinar Harian

10 views

Comments


bottom of page