KUANTAN: Pembinaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Belat, di sini yang hampir siap sepenuhnya sudah menampakkan kesan apabila dapat menghalang banjir di beberapa penempatan ketika Monsun Timur Laut.
Projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bernilai lebih RM100 juta yang mula dibina 2018 itu memberi sinar baharu kepada 350,000 penduduk berhampiran Sungai Belat termasuk Taman Seri Inderapura, Taman Guru, Kampung Belukar, Taman Guru, Kampung SC, Kampung Sungai Belat dan Kampung Kurnia.
RTB Sungai Belat adalah sebahagian daripada Projek RTB Bandar Raya Kuantan bagi memberikan perlindungan daripada banjir dengan kawasan perlindungan sehingga 20,000 hektar.
Menerusi projek berkenaan air hujan berlebihan disalurkan ke Sungai Belat menerusi tiga rumah pam terletak di Kampung Bunut Rendang, Taman Guru dan Kampung Kurnia yang beroperasi 24 jam.
Bagi Amir Saidon Md Yunus, 59 yang menetap di Taman Seri Inderapura, berkata walaupun projek belum siap sepenuhnya namun kesannya telah dapat dilihat apabila dapat menyalurkan air keluar ke Sungai Belat.
Katanya, hujan berlebihan pada Disember lalu mengundang kejadian banjir namun apabila air di pam secara berterusan keluar ke Sungai Belat akhirnya banjir dapat diatasi.
Menurutnya, ketika itu penduduk Taman Seri Inderapura mula cemas apabila hujan berlaku secara berterusan, paras air dalam parit utama meningkat namun apabila rumah pam Kampung Bunut Rendang beroperasi kejadian banjir dapat diatasi.
"Projek RTB Sungai Belat dianggap berkesan dalam memastikan banjir tidak terus berlaku setiap tahun terutama di penempatan yang terletak hampir dengan Sungai Belat dan jika banjir berlaku ia mungkin tidak terlalu besar.
"Episod banjir besar pada Disember 2021 amat sukar untuk dilupakan penduduk Taman Seri Inderapura apabila menenggelamkan hampir keseluruhan taman, paras air hampir dua meter," katanya.
Beliau berkata, dengan adanya RTB Sungai Belat yang kini melalui fasa akhir pembinaan diharapkan kejadian banjir yang menyebabkan kerugian besar ditanggung penduduk tidak lagi berlaku selepas ini.
Amir Saidon berkata, projek kerajaan pusat itu ternyata berkesan dapat membela nasib rakyat dengan cara dapat mencegah bencana banjir yang hampir setiap tahun berlaku di negeri ini.
Penduduk Taman Guru yang hanya mahu dikenali sebagai Shahran, berkata rumah pam yang ada digunakan untuk menyedut air berlebihan keluar ke Sungai Belat, kaedah digunakan itu dianggap berkesan dan berjaya sepenuhnya.
"Saya bersyukur RTB Sungai Belat kini hampir siap sepenuhnya selepas berlaku kelewatan, difahamkan rumah pam dikawal secara manual menggunakan enjin kerana masih tiada bekalan elektrik.
"Diharapkan tahun ini projek berkenaan siap sepenuhnya, seterusnya memberi lebih kelegaan kepada mereka yang tinggal berhampiran Sungai Belat," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments